Tular di media sosial video memaparkan insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik pada sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan sebuah premis di Pekan Nanas, Johor, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Rakaman berdurasi kurang satu minit itu menunjukkan seorang lelaki dipercayai pemandu lori menghampiri MPV berkenaan sebelum menegur pemilik kenderaan tersebut.
“Kereta siapa? Kenapa pasang terbalik?” katanya sambil mencabut bendera yang dipasang terbalik di cermin hadapan MPV tersebut.
Tindakan spontan lelaki itu menerima pujian warganet yang menyifatkannya sebagai bertanggungjawab dan peka terhadap lambang kebangsaan. Namun, ramai juga meluahkan rasa kecewa kerana kejadian seperti itu masih berlaku walaupun negara sudah lama merdeka.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib, berkata pihaknya mengambil maklum mengenai penularan video berkenaan yang dipercayai dirakam di hadapan sebuah kedai perabot di Jalan Besar, Pekan Nanas.
“Hasil siasatan mendapati bendera tersebut telah diturunkan semasa pemeriksaan dijalankan. Pemandu, seorang lelaki berusia 44 tahun, bersama kenderaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mohamad Shofee menegaskan bahawa pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik boleh mengundang salah faham masyarakat serta menjejaskan sensitiviti rakyat Malaysia.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan kenyataan berbaur provokasi berhubung insiden tersebut.
“Semua pihak termasuk agensi kerajaan, premis perniagaan dan individu perlu memastikan pemasangan Jalur Gemilang dibuat mengikut tatacara yang ditetapkan sebagai tanda penghormatan kepada kedaulatan negara,” katanya lagi.

