Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini mencuri tumpuan ramai apabila beliau tiba menaiki kenderaan rasmi presiden AS yang digelar The Beast — limosin mewah berperisai paling selamat di dunia.
Dikeluarkan oleh General Motors, model Cadillac One ini direka khas dengan tahap keselamatan luar biasa. Bahagian luarnya dilapisi perisai militari setebal lima inci yang diperbuat daripada campuran besi, aluminium, titanium dan seramik — mampu menahan bom, serangan kimia, malah tembakan penembus perisai.

Pintunya seberat pintu pesawat Boeing 757, manakala ruang kabinnya dilindungi sepenuhnya daripada sebarang ancaman luar. Hanya Presiden AS dibenarkan membuka cermin — itu pun hanya tiga inci.
Antara kelengkapan lain termasuk sistem komunikasi satelit terus ke Pentagon dan Naib Presiden, butang kecemasan, bekalan oksigen, gas pemedih mata, senapang patah, dan beg darah sepadan jenis darah presiden sekiranya berlaku kecemasan. Tayar pula diperkukuh dengan rim besi agar mampu dipandu walaupun pecah, sementara tangki minyaknya mempunyai bahan pelindung anti-letupan.
Pemandunya bukan calang-calang — pegawai keselamatan elit terlatih yang mampu melakukan pusingan J, mengelak serangan, atau memecut sambil melepaskan semburan minyak bagi melumpuhkan kenderaan musuh.
Trump dilaporkan memiliki 12 unit The Beast dengan nilai sekitar RM6.4 juta setiap satu.

Anwar diundang naik “The Beast”
Menariknya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi pengalaman unik apabila Trump melanggar protokol keselamatan dengan menjemputnya menaiki kenderaan rasmi itu sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Trump yang tiba menaiki pesawat Air Force One pada jam 9.50 pagi disambut pegawai kanan Malaysia sebelum berangkat ke KLCC bagi menghadiri sesi pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN bersama pemimpin dunia.

