Tiong King Sing Mengaku Bersalah Isu Hidang Arak Dalam Majlis Kerajaan

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing, mengakui kesilapan beliau berhubung penganjuran majlis makan malam gala sempena acara Global Travel Meet yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini susulan hidangan minuman beralkohol dalam majlis berkenaan.

Dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Tiong menzahirkan rasa kesal dan tanggungjawab penuh terhadap kekeliruan serta ketidakselesaan yang timbul dalam kalangan rakyat. “Saya dan MOTAC amat kesal atas sebarang kekeliruan atau salah faham hingga menimbulkan ketidakselesaan. Saya sepatutnya mengumumkan pada malam itu bahawa majlis makan malam gala tersebut sudah menjadi majlis tertutup. Saya akui kesilapan kerana tidak mengumumkannya lebih awal,” katanya.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd. Ramli (PN–Dungun) yang meminta penjelasan mengenai garis panduan kementerian bagi memastikan semua majlis rasmi kerajaan, termasuk yang dianjurkan bersama pihak swasta, mematuhi Pekeliling Perkhidmatan 3/2003, khususnya larangan menghidang minuman beralkohol. Menurutnya, MOTAC memandang serius semua teguran rakyat dan menghargai nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menegaskan pentingnya mematuhi tatacara dan nilai murni dalam setiap acara rasmi kerajaan.

“Saya menerima teguran Perdana Menteri dengan hati terbuka dan menjadikannya pengajaran. MOTAC akan memperketat pematuhan terhadap setiap garis panduan kerajaan pada masa depan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” jelasnya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Brodi (GPS–Sri Aman) mengenai hasil penganjuran Global Travel Meet, Tiong memaklumkan acara itu berjaya menarik penyertaan hampir 600 pemain industri pelancongan antarabangsa, dengan jumlah transaksi keseluruhan mencecah RM420 juta sepanjang tiga hari penganjuran. “Walaupun terdapat kekhilafan dalam pelaksanaan majlis makan malam tersebut, kita tetap komited menjadikan Malaysia destinasi pelancongan utama dunia melalui penganjuran acara berimpak tinggi,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa selepas ini, semua program rasmi MOTAC akan mematuhi sepenuhnya garis panduan kerajaan, selaras dengan dasar menghormati sensitiviti agama dan budaya negara.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular