Selepas 17 tahun melayari bahtera perkahwinan, pelakon veteran Arash Mohamad, 55, dan isterinya, Noor Afidahwati Mohammad, 45, dilaporkan telah membawa haluan masing-masing sejak setahun lalu.
Perkara itu disahkan oleh Noor Afidahwati sendiri menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya, sebagai langkah mengelak salah faham dan spekulasi yang semakin menular dalam kalangan peminat.
“Bismillahirrahmanirrahim… Tujuan posting ini hanyalah untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.
Setahun sudah berlalu. Kisah 17 tahun kami berakhir dengan lafaz yang sah. Kini kami bukan lagi suami isteri, hanya dua hati yang pernah bertemu, lalu memilih jalan masing-masing.
Semoga tenang ini kekal, dan doa yang baik terus mengiringi setiap langkah,” tulisnya.
17 Tahun Bersama, Tiada Zuriat Tapi Penuh Kenangan
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 25 Disember 2007 dan sepanjang perkahwinan, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Sebelum ini, Arash pernah mengakui reda dengan ketentuan Ilahi, malah menyifatkan rezeki dalam bentuk lain tetap hadir dalam hidup mereka.
Spekulasi Bermula Dari Media Sosial
Spekulasi mengenai keretakan rumah tangga pasangan ini mula diperkatakan selepas Arash tidak lagi memuat naik foto isterinya di media sosial sejak tahun lalu.
Tinjauan mendapati kali terakhir pelakon itu berkongsi gambar bersama Noor Afidahwati adalah pada April 2023, manakala isterinya pula kali terakhir memuat naik foto bersama bekas suami pada 2020.
Setakat ini, Arash belum memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara itu.