Jemaah Menteri memutuskan bahawa garis panduan sedia ada berhubung penyajian minuman beralkohol di sekolah akan kekal tanpa sebarang perubahan, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan pelonggaran terhadap larangan tersebut.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang menjelaskan bahawa keputusan berkenaan dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini selepas mengambil kira sensitiviti masyarakat dan peranan sekolah sebagai institusi pendidikan.
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, isu berkaitan sekolah dan penganjuran acara yang menyediakan atau menyajikan minuman beralkohol telah dibincangkan.
Jemaah Menteri diingatkan dan telah memutuskan bahawa garis panduan serta amalan sedia ada kekal terpakai tanpa sebarang perubahan,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.
🏫 Tiada Kompromi Dalam Kawasan Sekolah
Fahmi turut menegaskan, tiada sebarang keperluan untuk menggubal semula dasar atau garis panduan baharu memandangkan peraturan sedia ada sudah cukup jelas — iaitu melarang sebarang bentuk penyajian minuman beralkohol di kawasan sekolah, sama ada bagi acara rasmi, sosial atau sewaan dewan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi susulan bagi memperincikan aspek teknikal garis panduan tersebut.
⚠️ Terdahulu, PMX Tegas: “Sekolah Bukan Tempat Untuk Hidang Arak”
Isu ini mencetuskan kontroversi selepas pesta arak dilaporkan diadakan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Ipoh pada 27 September lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Khamis menegaskan bahawa sekolah harus kekal sebagai kawasan pembelajaran dan bukan tempat bagi aktiviti yang melibatkan alkohol.
“Langkah ini bukan untuk menyekat hak masyarakat bukan Islam, tetapi untuk memartabatkan sekolah sebagai institusi pendidikan untuk anak-anak kita,” kata Anwar ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.
🇲🇾 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Turut Tertakluk
Diminta mengulas laporan media berbahasa Cina yang mendakwa garis panduan tidak terpakai di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), Fahmi menjelaskan bahawa keputusan Kabinet tetap merujuk kepada peraturan sedia ada, namun mengakui ada sedikit perbezaan dari segi struktur pentadbiran sekolah tersebut.
“Bagi sesetengah sekolah jenis kebangsaan Cina, ada yang menerima bantuan penuh kerajaan, manakala fasiliti lain dibangunkan oleh Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) atau pihak swasta.
Walau bagaimanapun, semua tetap tertakluk kepada garis panduan sedia ada,” jelas beliau.

