“Tiada Kompromi!” – Fadhlina Tegas Sekolah Mesti Jadi Tempat Paling Selamat

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap keselamatan di institusi pendidikan, sambil memberi jaminan bahawa semua kebimbangan yang dibangkitkan oleh masyarakat akan diberi perhatian serius oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Fadhlina berkata, beliau bersedia mendengar setiap pandangan dan sumbang saran daripada semua pihak termasuk pelajar, ibu bapa, NGO serta masyarakat umum, bagi memperkukuh ekosistem sekolah yang lebih selamat dan berperikemanusiaan.

“Kami di KPM berkongsi kebimbangan yang sama dengan kumpulan mahasiswa, NGO dan jutaan rakyat di seluruh negara yang mahu ekosistem pendidikan yang benar-benar selamat. Tiada kompromi. Ini yang kita semua mahukan!” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum #MakeSchoolASaferPlace daripada Sekretariat Sekolah Selamat di hadapan Parlimen semalam, bersama Timbalan Menteri dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

Fadhlina menambah, KPM kini sedang menangani kelompangan sedia ada serta melaksanakan langkah penambahbaikan dalam aspek keselamatan, disiplin dan kesejahteraan murid di sekolah.

“Ayuh kita bersama-sama berikhtiar memastikan institusi pendidikan menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak, para guru dan seluruh warga pendidikan,” ujarnya.

Langkah itu turut dilihat sebagai tindakan susulan kepada kebimbangan masyarakat berikutan peningkatan kes melibatkan jenayah dan insiden tragis di sekolah-sekolah baru-baru ini, termasuk kes buli, cabul dan keganasan pelajar.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular