Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima ribuan ucapan penghargaan daripada rakyat Kemboja selepas Malaysia berjaya memudah cara Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Peace Accord) antara Thailand dan Kemboja yang dimeterai hari ini di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Ruang komen di laman rasmi Facebook Perdana Menteri dan Pejabat Perdana Menteri dibanjiri mesej terima kasih daripada pengguna media sosial yang menzahirkan rasa syukur atas usaha Malaysia mengembalikan kestabilan di sempadan kedua-dua negara jiran itu.
“Terima kasih atas usaha gigih anda membantu kami,” tulis pengguna Facebook, Keo Dalis.
“Saya rakyat Kemboja. Terima kasih atas kebaikan anda yang sentiasa menyokong Kemboja mencapai keamanan,” kongsi Teav Kim Leamg, manakala seorang lagi pengguna, Hei Nail, menulis, “Terima kasih atas usaha untuk mewujudkan perdamaian.”
Hantaran tersebut yang mencatat lebih 4,900 komen dalam tempoh beberapa jam turut menyaksikan rakyat Malaysia sendiri membanjiri ruangan komen dengan pujian terhadap kepimpinan Anwar yang dianggap berjaya mengangkat ASEAN sebagai penggerak diplomasi serantau.
Seorang pengguna menulis, “Ramai kawan saya dari Kemboja dan Thai ‘like’ bila saya kongsi berita ini. Tahniah PMX!” manakala seorang lagi mengulas, “Semoga perjanjian ini membawa manfaat kepada rakyat dan negara.”
🇲🇾
Malaysia Pemudah Cara Diplomasi Serantau
Perjanjian damai yang ditandatangani di bawah naungan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 itu menandakan berakhirnya pertikaian panjang antara Thailand dan Kemboja di kawasan sempadan, sekali gus membuka jalan baharu kepada keharmonian dan pembangunan serantau.
Malaysia memainkan peranan penting sebagai mediator neutral, dengan sokongan beberapa negara anggota ASEAN serta penglibatan aktif rakan antarabangsa termasuk Amerika Syarikat.
Dalam kenyataan rasmi di media sosial, Anwar menyifatkan perjanjian itu sebagai “detik bersejarah dalam diplomasi ASEAN dan kesinambungan daripada gencatan senjata yang dipersetujui di Putrajaya pada 28 Julai lalu.”
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, atas peranan Washington dalam membantu meyakinkan Bangkok dan Phnom Penh untuk kembali ke meja rundingan.
🌏
ASEAN Bukti Suara Damai Masih Relevan
Anwar menegaskan kejayaan perjanjian itu membuktikan ASEAN semakin berpengaruh sebagai penghubung keamanan global, serta menampilkan diplomasi sederhana sebagai penyelesaian kepada konflik.
“Perjanjian damai ini menjadi bukti bahawa suara ASEAN semakin berpengaruh sebagai penghubung keamanan, membuktikan bahawa kesederhanaan dan dialog mampu menyelesaikan pertikaian,” katanya.
Perdana Menteri turut menyeru agar semangat perdamaian ini diperluas ke wilayah lain yang bergolak, terutama Gaza, agar “keadilan dan kemanusiaan dikembalikan sebagai teras orde dunia.”

