Markas Pemerintahan Siber dan Elektromagnetik (MPSE) yang bakal menjadi teras utama pertahanan siber negara dijangka dilancarkan secara rasmi bulan depan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurutnya, penubuhan MPSE melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini berada di peringkat akhir dimuktamadkan, dengan pelaksanaan keupayaan akan dibuat secara berfasa di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“MPSE dijangka dilancarkan secara rasmi pada November dengan pengisian keupayaan dilaksanakan secara berperingkat. Sasaran akhir adalah menjadikan MPSE sebagai formasi berkeupayaan penuh menjelang tahun 2030,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (BEBAS–Tanjong Karang) mengenai status penubuhan pasukan siber khusus bagi menangani ancaman seperti ransomware dan serangan terhadap infrastruktur kritikal nasional.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, menjelaskan penubuhan markas itu sejajar dengan Strategi Angkatan Masa Hadapan ATM, yang menekankan penguasaan dalam domain baharu peperangan — siber dan elektromagnetik.
“Langkah ini akan memperkukuh daya tahan serta keupayaan ATM dalam menghadapi ancaman peperangan moden yang kini tidak lagi terbatas kepada darat, laut dan udara, tetapi turut merangkumi ruang siber serta elektromagnetik,” katanya.
April lalu, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, turut memaklumkan bahawa penubuhan MPSE seiring dengan kemunculan ancaman bukan kinetik yang bersifat disruptif dan sukar dikesan, sekali gus menuntut pendekatan pertahanan baharu yang lebih menyeluruh dan proaktif.
Katanya, penubuhan MPSE akan memperkukuh pertahanan negara dalam domain siber dan elektronik — melangkaui batas tradisional ketenteraan serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara yang berdaya tahan dalam era konflik digital dan peperangan hibrid.