Tengku Hassanal Cipta Sejarah Selepas Tamat Kursus Paskau

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, mencipta sejarah apabila menjadi kerabat diraja Pahang pertama menamatkan Kursus Asas Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (Paskau), sekali gus dinaikkan pangkat Mejar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Majlis pemakaian pangkat berkuat kuasa 18 Oktober lalu itu disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Kolonel Yang Dipertua TUDM, dalam istiadat ketenteraan penuh adat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

“Hari yang cukup istimewa,” titah Al-Sultan Abdullah

Dalam titah baginda semasa Majlis Jamuan Diraja di Pantai Hiburan, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa bangga dan terharu dengan kejayaan anakanda baginda.

“Hari ini amat istimewa bagi saya dan keluarga kerana dapat melihat dengan bangganya lahirnya seorang Paskau daripada kalangan keluarga saya. Mudah-mudahan ramai lagi Paskau akan dilahirkan daripada keluarga saya,” titah baginda.

Baginda turut menekankan pentingnya latihan ketenteraan dipertingkat dari segi kecergasan dan kecekapan, serta menyeru semua pegawai dan anggota TUDM mengekalkan disiplin tinggi walaupun usia semakin meningkat.

Beret Biru Paskau disarung dengan penuh kebanggaan

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Beret Biru Paskau, Lanyard Biru dan Dagger Paskau kepada Tengku Mahkota Pahang serta Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, yang turut menamatkan latihan kepakaran tersebut.

Tengku Hassanal memulakan latihan pada 28 Julai dan menamatkannya pada 26 Oktober, manakala Panglima Tentera Udara menjalani latihan dari 28 Ogos hingga 17 Oktober.

Hanya 22 peserta berjaya menamatkan latihan

Menurut Jeneral Norazlan, Kursus Asas Paskau Siri 32/25 dijalankan di Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT), Bukit Ibam, selama 12 minggu di bawah bimbingan Leftenan Kolonel Raymond Radsung.

Kursus ini berteraskan Jungle Warfare dan Urban Warfare, menguji ketahanan mental serta fizikal peserta melalui lima peringkat utama — kem, hutan, jalan lasak sejauh 160 kilometer, laut dan perairan, serta latihan SERE (Survival, Evasion, Resistance and Escape).

Daripada 53 peserta asal, hanya 22 orang termasuk seorang pegawai dan 21 anggota lain-lain pangkat berjaya menamatkan latihan dan layak menyarung Beret Biru Paskau, simbol keunggulan pasukan elit udara negara.

Cerminan semangat juang dan patriotisme

Kejayaan ini bukan sekadar detik bersejarah bagi institusi diraja Pahang, tetapi turut melambangkan semangat juang tinggi, disiplin mantap dan ketahanan luar biasa dalam kalangan generasi muda negara.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular