“Tanpa Tunku Ismail, Bola Sepak Malaysia Sudah Lama Berakhir” – Cklamovski

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, tampil mempertahankan kredibiliti DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, susulan kemelut yang melibatkan FIFA berhubung isu pemain warisan Malaysia baru-baru ini.

Isu berprofil tinggi itu terus menjadi tumpuan apabila badan induk bola sepak dunia itu menggantung beberapa pemain warisan atas dakwaan pemalsuan dokumen keturunan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi daripada peminat bola sepak tempatan.

Dalam kekecohan tersebut, nama Tunku Ismail turut dikaitkan oleh segelintir pihak memandangkan baginda merupakan figura utama di sebalik kebangkitan dan transformasi besar bola sepak Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Cklamovski menegaskan bahawa segala persepsi negatif yang dilemparkan terhadap Tunku Ismail adalah tidak adil dan sama sekali tidak berasas.

“Berdasarkan apa yang saya dengar, ada banyak persepsi negatif terhadap Tunku Ismail sedangkan perkara itu tidak adil dan tidak berasas. Baginda seorang pemimpin yang visioner. Tanpa Tunku Ismail, bola sepak Malaysia sudah lama berakhir,” katanya kepada media selepas aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos.

Jurulatih kelahiran Australia itu turut menjelaskan bahawa banyak kemudahan moden dan sokongan logistik yang kini dinikmati skuad kebangsaan sebenarnya datang hasil usaha dan pengaruh Tunku Ismail sendiri.

“Siapa yang mendapatkan dana daripada Perdana Menteri dan sokongan kerajaan? Ia Tunku Ismail, bukan FAM. Siapa yang menyediakan penerbangan sewa khas untuk kami bergerak seperti pasukan profesional dan memastikan pemain dapat pulih segera selepas perlawanan? Semuanya diurus dan diluluskan oleh Tunku Ismail,” jelasnya.

Antara sumbangan besar Tunku Ismail yang diiktiraf ramai ialah inisiatif menaik taraf padang Stadium Nasional Bukit Jalil, termasuk penggantian rumput lama kepada rumput Zeon Zoysia — satu kurniaan baginda bagi memastikan venue kebangsaan itu setanding dengan stadium antarabangsa dan memberikan keselesaan terbaik kepada pemain serta penyokong.

Cklamovski menegaskan bahawa segala isu pentadbiran dan kesilapan teknikal yang dikaitkan dengan FIFA tidak melibatkan Tunku Ismail, sebaliknya merupakan urusan dalaman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Segala kekacauan yang berlaku dengan FIFA, kesilapan pentadbiran atau apa sahaja yang berlaku di situ, itu urusan FAM, bukan Tunku Ismail,” tegasnya lagi.

Sementara itu, beliau meluahkan rasa bangga terhadap komitmen dan disiplin skuad Harimau Malaya yang tetap fokus di tengah kemelut luar padang.

Pasukan kebangsaan menewaskan Laos 3-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Vientiane hasil jaringan Arif Aiman, Dion Cools dan Faisal Halim pada separuh masa kedua.

Kemenangan itu mengekalkan rekod sempurna Harimau Malaya dengan tiga kemenangan berturut-turut, sekaligus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan F.

Skuad negara kini bersedia untuk aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil, di mana mereka berhasrat mengekalkan rentak kemenangan dan membuktikan Harimau Malaya kekal utuh walau berdepan badai kontroversi.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular