Jumlah trafik di lebuh raya utama seluruh negara dijangka meningkat dengan ketara menjelang cuti perayaan Deepavali, dengan anggaran tertinggi mencecah 2.67 juta kenderaan sehari pada hari-hari puncak, menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
LLM dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, lonjakan trafik dijangka bermula pada 16 Oktober melibatkan pengguna lebuh raya arah Utara, Selatan dan Pantai Timur, apabila orang ramai mula pulang ke kampung halaman dan destinasi percutian.
“Daripada jumlah itu, kira-kira 2.2 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS, manakala Lebuh Raya Kuala Lumpur–Karak (170,000 kenderaan), Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (90,000), Fasa 2 (40,000) dan Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE, 170,000 kenderaan) turut dijangka mengalami peningkatan trafik,” jelas kenyataan itu.
Bagi meringankan beban rakyat sempena musim perayaan, Kerajaan MADANI turut mengumumkan diskaun tol 50 peratus untuk kenderaan Kelas 1 (dan Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) bermula 12.01 tengah malam, 18 Oktober hingga 11.59 malam, 19 Oktober di semua plaza tol di bawah seliaan LLM — kecuali Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (Lebuhraya Linkedua).
LLM turut mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya untuk mengambil langkah proaktif memastikan perjalanan pengguna kekal selamat dan lancar, termasuk:
- Mengelakkan penutupan lorong kecuali bagi kerja kecemasan.
- Mengaktifkan Smart Lane di 29 lokasi utama di Lebuh Raya PLUS.
- Meningkatkan pemantauan trafik di pusat kawalan dan hentian rehat utama.
“LLM menasihatkan pengguna merancang perjalanan menggunakan aplikasi MyPLUS-TTA atau Travel Time Advisory (TTA), memastikan kenderaan dalam keadaan baik serta mematuhi papan tanda lalu lintas,” kata kenyataan itu lagi.
Pengguna turut digalakkan menggunakan lorong kecemasan sebagai laluan alternatif di lokasi Smart Lane apabila berlaku kesesakan, di bawah pemantauan pihak berkuasa lebuh raya dan polis trafik.
LLM menegaskan, semua langkah ini dilaksanakan bagi memastikan perjalanan rakyat sempena Deepavali tahun ini berjalan selamat, selesa dan lancar, sejajar dengan komitmen kerajaan meningkatkan kemudahan dan keselamatan pengguna lebuh raya.