Petanda positif muncul buat tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang kini menanti keputusan rayuan rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung dakwaan penggunaan dokumen tidak sah dalam proses pendaftaran pemain.
Ketujuh-tujuh pemain berkenaan ialah Jon Irazabal, Facundo Garces, Gabriel Palmero, Hector Hevel, Imanol Machuca, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado, yang sebelum ini terlepas peluang menyertai skuad kebangsaan dalam dua aksi Kumpulan F Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober lalu.
Terbaharu, laman data bola sepak antarabangsa Transfermarkt dilihat telah mengembalikan bendera Malaysia pada profil tujuh pemain tersebut, sekali gus mencetuskan tanda-tanda positif menjelang keputusan rasmi rayuan yang dijangka diumumkan oleh FIFA pada penghujung bulan ini.
Dalam kenyataan terdahulu, FAM menegaskan bahawa tujuh pemain berkenaan adalah rakyat Malaysia yang sah dan pihaknya komited untuk mempertahankan maruah serta integriti bola sepak negara di peringkat antarabangsa.
“Rayuan rasmi kini sedang disediakan dengan menggunakan dokumen asal yang sah serta disahkan oleh Kerajaan Malaysia. FAM kekal komited mempertahankan integriti bola sepak negara berdasarkan fakta serta dokumen sahih,” jelas kenyataan itu.
FAM turut menegaskan pihaknya percaya semua fakta yang dikemukakan akan diteliti dengan adil oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA sebelum keputusan muktamad diumumkan.