Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan kenaikan siling penggunaan subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi pemandu e-hailing sepenuh masa daripada 300 liter kepada 600 liter sebulan, sekali gus menggandakan manfaat untuk golongan tersebut.
Dalam kenyataan hari ini, MOF memaklumkan, semakan silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mendapati lebih 53,900 individu layak menerima kenaikan siling baharu itu.
“Selain itu, lebih 11,400 lagi pemegang lesen memandu kini layak menikmati BUDI95 — terdiri daripada 11,200 pemandu baharu mendapat lesen dan 260 pemandu yang memperbaharui lesen.
Ini menjadikan lebih 16 juta rakyat Malaysia kini menerima manfaat program BUDI95,” katanya.
🚗
Meliputi Pengguna Bot di Sarawak
BUDI95 turut diperluaskan kepada lebih 1,400 pengguna bot persendirian berdaftar di Sarawak, hasil data daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak serta agensi kerajaan negeri yang berkaitan.
Sebelum ini, kelayakan sama telah diberikan kepada pengguna bot di Sabah serta nelayan berdaftar di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), sebagai langkah memastikan subsidi bersasar turut memanfaatkan komuniti maritim.
💡
Komitmen Kerajaan Pastikan Pelaksanaan Telus
MOF menegaskan, kerajaan kekal komited memastikan pelaksanaan BUDI95 berjalan dengan lancar, telus dan berkesan, di samping terus menambah baik sistem sedia ada mengikut keperluan semasa.
“MOF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan program ini dan melaksanakan penambahbaikan secara berterusan bagi memastikan manfaat disalurkan terus kepada rakyat yang layak,” katanya.
Portal rasmi BUDI MADANI kini turut dilengkapi dengan ciri semakan sejarah transaksi yang boleh diakses melalui MyDigital ID, bagi menjamin keselamatan data peribadi pengguna.
Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan 1-300-88-9595 atau WhatsApp +603-2631 4595, serta merujuk bahagian Soalan Lazim (FAQ) di portal rasmi BUDI MADANI.