Shuib Sebak Lihat Amad Rebah di Pentas: Pernah Lalui Detik Sama

Naib juara Talk To My Manager (TTMM), Shuib Sepahtu dan pasangannya Thalita, meluahkan rasa simpati terhadap nasib peserta Amad yang rebah di pentas akhir program tersebut.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 41, kejadian berlaku secara mengejut ketika pertandingan sedang berlangsung apabila beliau menerima panggilan telefon daripada Idan, bapa tiri Amad, yang meminta bantuan segera.

“Sewaktu itu Auddra tengah buat persembahan, tiba-tiba saya dapat panggilan daripada Idan minta saya bawa rakan saya yang ustaz untuk tolong Amad di belakang pentas.

Saya terus beritahu Saerah, dan dia pun panik. Bila saya sampai di belakang pentas, saya tengok keadaan Amad dan rasa sangat sedih.

Saya tahu dia calon kuat untuk juara. Saya cuma harap dia jangan putus asa, mesti ada hikmah di sebalik yang berlaku,” katanya kepada Kosmo! Online.

😔 

Kenangan Lama Kembali Terimbau

Mengimbau kenangan lama, Shuib mengakui situasi itu mengingatkannya pada detik sewaktu bersama arwah isterinya, Siti Sarah, ketika menyertai Gegar Vaganza sembilan tahun lalu.

“Saya tak terlalu terkejut dengan suasana di tempat ini. Dulu saya pernah dukung arwah Siti Sarah di tempat sama bila dia tiba-tiba tiada di akhir rancangan.

Tapi semua ini kerja Allah. TTMM banyak beri saya pengajaran tentang hidup dan ketentuan,” katanya sebak.

🙏 

Berwaspada Tapi Serah Pada Takdir

Mengulas sama ada beliau kini lebih berhati-hati menjaga Thalita selepas insiden itu, Shuib berkata mereka tidak terlalu memikirkan perkara mistik atau kebetulan, namun tetap berwaspada.

“Saya ada kawan ustaz dari Melaka, dia datang tengok TTMM hampir setiap minggu. Tapi bukan sebab nak ‘lindungi’ Thalita.

Saya dan Thalita cuma berdoa yang baik sebelum keluar rumah.

Pada saya, ini pertandingan untuk budak-budak. Tak sangka pula benda macam ini boleh jadi,” katanya.

⚡ 

Detik Cemas di Pentas Akhir

Dalam insiden yang tular itu, Amad dilaporkan rebah dan menjerit kesakitan sebelum sempat membuat persembahan. Beliau kemudian dibawa keluar oleh pengurus pentas dan paramedik hadir memeriksa keadaannya.

Bagaimanapun, selepas waktu iklan, Amad kembali ke pentas untuk meneruskan persembahan, namun kelihatan berge­lut dengan kesakitan sebelum akhirnya pengsan di penghujung persembahan.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular