Seorang bapa kepada pelajar lelaki berusia 14 tahun yang ditahan selepas dipercayai menikam hingga mati rakan sekolahnya di Bandar Utama, tidak mampu menahan kesedihan atas perbuatan anaknya sendiri.
Dalam temu bual bersama China Press, lelaki berusia 40 tahun itu berkata, hatinya benar-benar hancur dan sukar menerima hakikat bahawa anaknya sanggup melakukan perbuatan sedemikian.
“Saya tahu apa sahaja yang saya katakan sekarang tidak membawa makna. Apa pun yang saya buat, ia tidak akan mengembalikan anak perempuan mereka. Saya tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengan mereka,” katanya dalam nada sebak.
Menurut lelaki itu, anaknya seorang yang pendiam dan bersifat introvert. Katanya, walaupun pernah ditanya sama ada mengalami masalah di sekolah seperti dibuli atau dimarahi guru, remaja itu tidak pernah berkongsi apa-apa.
“Anak saya sangat pendiam dan jarang bercakap. Bila kami tanya kalau ada apa-apa berlaku di sekolah, dia hanya jawab tak ada apa-apa. Dia juga tak pernah sebut tentang pelajar perempuan itu,” katanya.
Bapa berkenaan turut memaklumkan pagi kejadian itu berjalan seperti biasa tanpa sebarang tanda mencurigakan.
“Pagi tadi semuanya normal. Saya hantar dia ke sekolah seperti biasa, tiada apa-apa yang pelik pun,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun anaknya mempunyai prestasi akademik yang sederhana dan kurang fokus dalam kelas, dia bukan pelajar yang suka menimbulkan masalah.
Kes kejadian tragis itu kini dalam siasatan pihak polis bagi mengenal pasti punca sebenar pergaduhan yang membawa kepada insiden maut berkenaan.