Saksi Kata Dia Jerit “Bodoh”, “S**l” Kepada Zara Qairina

Seorang saksi kanak-kanak mengaku di Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa dia ada memaki pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, dengan kata-kata kesat pada malam 15 Julai lalu, ketika sesi soal siasat berhubung kes kehilangan pin bendera sekolah.

Saksi ke-13 yang juga penghuni asrama sama berkata, dia menjerit perkataan “bodoh” dan “s**l” kerana marah selepas Zara Qairina tidak mengakui kesilapan walaupun pin bendera miliknya ditemui di dalam beg pelajar terbabit.

“Saya marah sebab pin bendera saya ada dalam beg dia. Tapi Zara tak mengaku, saya pun terlanjur marah dan memaki,” katanya ketika memberi keterangan.

Saksi berusia 13 tahun itu merupakan pelajar senior Tingkatan Empat yang tinggal di dorm A3-5, Blok A, Rabiatul Adawiyah, Asrama Qurratun ‘Ayun, SMKA Tun Datu Mustapha, Papar.

Menurut keterangan sebelum ini, setiap dorm dihuni kira-kira 13 pelajar — dua pelajar senior Tingkatan Empat dan selebihnya pelajar Tingkatan Satu.

Perkara tersebut turut disahkan oleh barisan peguam yang hadir, termasuk Joan Goh, Shahlan Jufri, dan Azhier Farhan Arisin, selepas prosiding hari ke-23 inkues kematian pelajar berkenaan.

Soal Siasat di Dorm A3-6

Saksi memberitahu mahkamah bahawa pada malam kejadian, dia bersama beberapa rakan senior memanggil Zara Qairina ke dorm A3-6 untuk bertanya tentang pin bendera yang hilang.

“Saya tanya, ‘Zara, macam mana benda ini boleh ada dalam beg kau?’ Kawan-kawan saya pun cakap, ‘Kalau kau ambil, mengaku saja, kami tak marah pun.’ Tapi Zara tetap tak mengaku,” katanya.

Kerana tiada pengakuan dibuat, saksi kemudian meninggalkan Zara Qairina di dorm tersebut sekitar jam 11 malam dan kembali ke dormnya sendiri.

Dia menegaskan bahawa sepanjang sesi soal siasat itu, tiada sebarang kekasaran fizikal dilakukan terhadap pelajar tersebut.

Zara Ditemui Menangis Sebelum Hilang

Saksi kemudian berkata, dia melihat Zara Qairina baring di lantai dorm sebelum pelajar itu keluar sekitar jam 12.30 malam.

Beberapa pelajar lain memberitahunya bahawa mereka ternampak Zara menangis di tandas pada aras yang sama sebelum gadis itu dikatakan memasuki dorm lain (A3-7).

“Mereka beritahu saya nampak Zara menangis di tandas dan menjenguk dari atas dinding bilik tandas,” katanya.

Saksi hanya mengetahui perkembangan lanjut selepas Ketua Warden, Azhari Abdul Sagap, memanggilnya untuk memberikan penjelasan pada keesokan harinya.

Prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung esok bagi mendengar keterangan saksi seterusnya.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular