Pempengaruh media sosial dan pendidik terkenal, Rambo Castello atau nama sebenarnya Ahmad Radzli Che Ngah, meninggal dunia awal pagi ini di Rumah Sakit Sardjito, Jogjakarta, Indonesia, akibat serangan jantung.
Allahyarham yang berusia 59 tahun, lebih dikenali sebagai “Cikgu Li”, menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.38 pagi waktu Indonesia.
Berita pemergian itu disahkan oleh anak ketiganya, Hafizul Fazli, 30, yang memaklumkan bahawa ayahnya meninggal dunia di sisi beliau dan ibu, Asiah Abdullah, 55.
“Jenazah bapa akan dibawa pulang ke Kampung Wakaf Zing, Jeli dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam berdekatan rumah.
Saya sedang menguruskan perjalanan membawa pulang ayah, insya-Allah tiba di kampung hari ini,” katanya ketika dihubungi media.
Dirawat Sejak 5 Oktober
Terdahulu, media melaporkan bahawa arwah terpaksa ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) di hospital berkenaan sejak 5 Oktober lalu selepas mengalami serangan jantung secara mengejut semasa berada di Indonesia.
Allahyarham merupakan kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli dan dikenali ramai sebagai pempengaruh media sosial yang aktif berkongsi mesej pendidikan, motivasi dan kemanusiaan di platform digital.
Pemergiannya mendapat perhatian meluas di media sosial, dengan ramai rakan pendidik dan pengikutnya menzahirkan rasa sedih serta penghargaan atas jasa dan sumbangan beliau kepada dunia pendidikan serta komuniti.
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.