Raja Ilya Tenang di Australia, Tapi Hati Masih Cinta Dunia Seni Di Malaysia

Pelakon dan usahawan terkenal, Raja Ilya, 40, mengakui masih merindui dunia lakonan tanah air meskipun kini menetap di Australia sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, tempoh tersebut bukan masa rehat kosong, sebaliknya diisi dengan komitmen keluarga dan kerjaya baharu di belakang tabir industri kreatif di negara itu.

“Lima tahun ini bukan tempoh kosong buat saya. Walaupun tidak muncul di televisyen, hidup saya tetap sibuk dengan pelbagai aktiviti.

Saya bekerja di belakang tabir, di samping membesarkan dua anak kecil yang memerlukan perhatian penuh,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial semalam.

Kerjaya Meningkat di Australia

Raja Ilya, atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, turut berkongsi penghargaan kepada syarikat produksi di Australia yang mempercayai dan menghargai bakatnya.

Sepanjang lima tahun ini, beliau terlibat dalam ratusan projek termasuk penggambaran korporat, kempen politik dan industri hartanah.

“Menjadi sebahagian daripada syarikat di Australia yang mengiktiraf hasil kerja saya adalah satu penghormatan besar.

Saya bersyukur kerana Allah membuka jalan yang tidak pernah saya jangka,” ujarnya.

Masih Aktif Hadiri Uji Bakat

Pelakon filem Soulmate Hingga Jannah itu turut menjelaskan bahawa dia masih aktif menghadiri sesi uji bakat filem, siri televisyen dan iklan komersial di Australia.

“Buat masa ini kerja saya tertumpu di sini, namun bila saya pulang ke Malaysia nanti, Insya-Allah saya akan sambung semula kerjaya seni seperti biasa.

Kepada semua yang terus menyokong, terima kasih. Kita kekal berhubung di media sosial buat masa ini,” katanya.

Bahagia di Perantauan

Raja Ilya mendirikan rumah tangga dengan warga Australia, Trent Garrett, pada 2018 dan kini dikurniakan dua cahaya mata, Talita Love, 3, dan Royal Abraham, 1.

Meskipun jauh dari tanah air, beliau tetap menzahirkan rasa cinta terhadap dunia seni dan peminat yang banyak memberi sokongan sepanjang kariernya.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular