Sekitar 10,000 jemaah membanjiri Masjid Putra di sini bagi menghadiri Kuliah Subuh Madani yang disampaikan ulama tersohor dari Yaman, Al-Habib Umar Muhammad Salim Ben Hafez, pagi ini.
Majlis dimulakan dengan solat subuh berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Abdul Karim Zakaria, diikuti kuliah khas oleh Al-Habib Umar yang membacakan kitab Qomi’ Al-Thugyan ‘ala Manzumah Syu’ab al-Iman karangan Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar Al-Bantani, seorang ulama besar Nusantara.
Kitab tersebut menghuraikan 77 cabang iman yang mencakupi aspek akidah, akhlak dan syariah, menjadi antara karya penting dalam khazanah ilmu Islam.
PM Serah Mushaf Tarim, Tanda Sempurnanya Projek 1 Juta al-Quran
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kemudiannya menyerahkan naskhah Mushaf Tarim Riwayat ad-Duri ‘an Abi Amr wa al-Basri kepada Al-Habib Umar.
Penyerahan tersebut menandakan penyempurnaan Projek 1 Juta al-Quran, satu inisiatif yang diilhamkan sendiri oleh Perdana Menteri bagi memperluas dakwah dan pemeliharaan seni tulisan mushaf di peringkat antarabangsa.
“Mushaf Tarim ini melambangkan usaha berterusan dalam memartabatkan seni, ilmu dan nilai al-Quran sebagai asas pembentukan masyarakat Madani,” ujar kenyataan rasmi majlis itu.
Simbol Persahabatan Malaysia–Yaman
Mushaf Tarim merupakan hasil kerjasama Kerajaan Malaysia, Yayasan Restu dan Nasyrul Quran, di bawah naungan Perdana Menteri, bersama Darul Mustafa, Yaman yang dipimpin sendiri oleh Al-Habib Umar.
Naskhah bersaiz A5 itu dihasilkan oleh lima khattat Yayasan Restu bermula pada 2015, disempurnakan pada 2019 dan diterbitkan sepenuhnya pada 2024.
Menampilkan Qiraat Riwayat ad-Duri, salah satu daripada 10 bacaan masyhur al-Quran, Mushaf Tarim dihiasi motif seni Yaman yang melambangkan kesatuan antara rohani dan estetika, memperkukuh lagi hubungan sejarah, dakwah dan persaudaraan ilmu antara Malaysia dan Yaman.