Peserta Flotilla Malaysia Rebah, Dipindahkan Ke Kapal Hospital

Seorang rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Ilham Fansuri Zainal Rashid, rebah dan tidak sedarkan diri pada hari ke-28 pelayaran, semalam.

Bapanya yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia, Zainal Rashid Ahmad, berkata anaknya terpaksa dipindahkan ke sebuah kapal bertaraf hospital yang mengiringi flotilla tersebut bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

“Dia tidak sihat, rebah dalam keadaan teruk sebab pelayaran sudah terlalu lama. Sepatutnya jaminan hanya 16 hari, tetapi kini sudah 28 hari. Hari ke-28, dia rebah.

“Saya hantar dia ke kapal hospital, Hospital Alma, dan serahkan kepada pakar-pakar di sana. Dia tak boleh buka mata, saya terpaksa buka matanya dengan lampu suluh. Anak mata pun sudah tidak kembang. Dr. Hashim dari Türkiye beritahu keadaannya sudah teruk,” katanya menerusi siaran langsung di TikTok bersama penulis geopolitik, Ahmad Faezal.

Hanya Makan Oren Tiga Hari

Menurut Zainal, anaknya hanya mampu makan buah oren sejak tiga hari lalu kerana ketiadaan gas untuk memasak di atas kapal.

“Dia juga mengalami muntah berterusan. Saya nampak keadaan dia semakin teruk. Kalau dibiarkan, jadi lain macam. Jadi saya hubungi kecemasan supaya mereka bawa anak saya.

“Dia masih pegang telefon, tapi dalam keadaan tidur sebab sangat lemah,” katanya lagi.

Pelayaran Melebihi Jangkaan

Misi flotilla tersebut sebelum ini dijangka mengambil masa 16 hari, namun kini berlarutan lebih 28 hari di laut selepas beberapa kapal mengalami masalah serta serangan dron.

Ilham adalah antara sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan GSF yang menghantar bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan lain ke Gaza.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular