Hujan lebat berterusan sejak petang tadi menyebabkan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di dua daerah di Perak — melibatkan 180 mangsa daripada 44 keluarga setakat jam 10 malam tadi.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), dua daerah terjejas ialah Manjung serta Larut, Matang dan Selama (LMS), dengan operasi pemindahan dilakukan secara berperingkat bermula sekitar jam 7.30 malam.
Di Manjung, dua PPS beroperasi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Batu, Pantai Remis dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Padang Serai, Pengkalan Baru.
PPS SK Sungai Batu menempatkan semua 180 mangsa dari Kampung Sungai Batu, Kampung Nelayan dan Kampung Parit Marikan.
Sementara itu, di LMS, enam PPS dibuka di Dewan Orang Ramai Simpang Halt, Dewan Orang Ramai Sungai Baru Trong, Dewan Perdana Trong, Dewan Serbaguna Masjid Al-Wusta Batu 8, Masjid Ali Rouse dan SK Simpang.
Bagaimanapun, tiada mangsa ditempatkan di PPS berkenaan setakat laporan diterima kerana proses pemindahan masih dijalankan.
Antara agensi terlibat dalam operasi pemindahan termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Menurut JPS, paras air di beberapa sungai utama di Perak kekal bawah paras bahaya termasuk Sungai Kerian di Selama (9.66 meter) dan Sungai Kurau di Batu Kurau (21.14 meter).
Empangan Bukit Merah turut dilaporkan masih dalam keadaan selamat, mencatat bacaan 8.19 meter dengan kapasiti simpanan 78.82 peratus.
Dalam kenyataan malam ini, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan berterusan di beberapa kawasan negeri itu.
Orang ramai terutama yang tinggal di kawasan rendah serta berhampiran sungai dinasihatkan berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa melalui portal rasmi publicinfobanjir.water.gov.my dan saluran rasmi agensi kerajaan.