Seorang pelancong asing meluahkan rasa terkejut dengan tahap kebersihan di Semporna, Sabah, yang disifatkannya sebagai antara bandar paling kotor pernah dilawati.
Dalam sebuah video yang dikongsikan di TikTok oleh akaun @backpacker_ben, beliau memaparkan keadaan sampah sarap yang bersepah di kawasan jeti — lokasi utama pelancong memulakan perjalanan ke pulau-pulau sekitar Semporna.
“Ini adalah jeti yang pelancong akan mulakan perjalanan mereka. Saya tak mahu bayangkan bagaimana keadaan tempat yang kita akan pergi nanti. Ini lima tempat terkotor pernah saya pergi,” katanya dalam video tersebut.
Pelancong berkenaan turut berkongsi bahawa beliau terpaksa menyimpan botol kosong selama lebih sejam kerana kekurangan tong sampah di kawasan tersebut dan enggan membuang sampah merata.
Rakaman itu turut menunjukkan sampah terapung di permukaan air, menjadikan warna air bertukar gelap serta menimbulkan bau yang busuk.
Netizen Tuntut Tindakan Segera
Video berkenaan segera menarik perhatian ramai di media sosial. Ramai pengguna menuntut agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan membersihkan kawasan tersebut, memandangkan Semporna merupakan pintu masuk utama pelancongan di Sabah.
Antara komen warga tempatan yang ditinggalkan:
- “Tahukah anda bahawa punca masalah di sana adalah daripada pendatang tanpa izin dari Filipina?”
- “Vibes kat situ macam dekat Indonesia dan Philippine.”
- “Kawasan itu kebanyakannya didiami oleh pendatang tanpa izin; mereka tidak akan ambil peduli.”
Dalam masa yang sama, netizen tempatan menegaskan bahawa kekotoran tersebut bukan berpunca daripada penduduk asal, sebaliknya lebih banyak disumbang oleh warga asing yang menetap di kawasan berkenaan.

