Pelajar B40 Dibantu – Yuran Dikecualikan, Pinjaman Disediakan

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh komitmen terhadap akses pendidikan inklusif dengan menyediakan bantuan kewangan dan pengecualian yuran pengajian bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di universiti awam (UA).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, berkata sebanyak 78,883 calon ditawarkan tempat ke peringkat ijazah sarjana muda bagi sesi akademik 2025/2026 yang mula mendaftar bulan ini. Daripada jumlah itu, ribuan pelajar kurang berkemampuan akan menerima manfaat bantuan melalui pelbagai inisiatif disediakan kerajaan.

Menurut beliau, di bawah program SULUNG 2.0 dan 3.0, seramai 6,028 pelajar B40 telah menikmati pengecualian penuh yuran pengajian dengan peruntukan berjumlah RM13.04 juta pada tahun lalu bagi sesi akademik 2024/2025. “KPT komited membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah melalui pelbagai inisiatif agar peluang pendidikan tinggi dapat dinikmati secara sama rata,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, 27,674 pelajar baharu turut menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sebanyak RM1,500 setiap seorang bagi kemasukan ke universiti awam dan politeknik untuk sesi Oktober ini, membabitkan peruntukan keseluruhan RM41.5 juta. “Usaha ini sebahagian daripada strategi memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif serta memastikan tiada pelajar tercicir kerana kekangan kewangan,” katanya.

Beliau menambah, setiap universiti kini digerakkan melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) untuk menjejak serta membantu pelajar yang menghadapi masalah kewangan. Zambry turut menegaskan bahawa pelajar yang terkesan akibat bencana banjir tidak perlu bimbang kerana kelonggaran khas diberikan bagi urusan pendaftaran. “Saya menyeru pelajar yang terjejas supaya segera menghubungi universiti masing-masing untuk memaklumkan keadaan sebenar. Universiti akan membantu dan memberi ruang secukupnya bagi memastikan tiada pelajar yang tertinggal peluang melanjutkan pengajian,” katanya.

Sebagai perbandingan, berdasarkan data universiti, subsidi kerajaan amat signifikan — misalnya di Universiti Putra Malaysia (UPM), kos pengajian setahun bagi pelajar perubatan mencecah RM39,379, namun pelajar hanya perlu membayar RM4,674 selepas subsidi kerajaan sebanyak RM34,705. Di UiTM, pelajar diploma di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan pula hanya membayar RM748 bagi satu semester selepas subsidi RM4,734.

Zambry menegaskan, usaha ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI untuk memastikan pendidikan tinggi kekal mampu milik, selain memperkasa golongan B40 sebagai tonggak kemajuan masa depan negara.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular