Parti Warisan Yakin Akan Tadbir Sabah Secara Sendiri

Parti Warisan menegaskan hasrat untuk bertanding secara solo di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang, dengan tekad membentuk kerajaan negeri tanpa bergantung kepada mana-mana parti lain.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan keyakinan bahawa Warisan mampu meraih jumlah kerusi mencukupi untuk mentadbir Sabah secara sendiri. Beliau menegaskan bahawa Warisan ingin kembali menjadi kerajaan negeri dengan mandat penuh daripada rakyat Sabah, tanpa perlu berkompromi dalam dasar dan keputusan pentadbiran.

“Warisan ingin membentuk kerajaan sendiri kerana yakin mendapat kerusi mencukupi tanpa kerjasama dengan parti lain. Dahulu, parti Berjaya dan PBS juga bertanding solo dan berjaya memerintah selama 10 tahun. Di Kelantan, Pas bertanding sendirian dan kekal memerintah lebih 40 tahun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan, Kolombong, Inanam, hari ini.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna menambah, pengalaman mentadbir kerajaan campuran Warisan Plus antara tahun 2018 hingga 2020 menjadi pengajaran berharga apabila timbul masalah koordinasi dengan parti rakan dari Semenanjung. “Ada keputusan negeri yang perlu dirujuk kepada pemimpin mereka di Semenanjung. Itu menyukarkan pentadbiran. Sebab itu, kali ini kami mahu Sabah ditadbir oleh anak Sabah sendiri,” tegasnya.

Beliau yakin rakyat Sabah kini semakin sedar dan mahu perubahan yang berteraskan suara serta kepimpinan tempatan. Warisan, katanya, akan tampil dengan barisan calon yang kukuh dan agenda pembangunan berfokus kepada peluang pekerjaan, ekonomi rakyat, dan maruah negeri — sebagai asas untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan tempatan Sabah.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular