Pelakon dan pengarah tersohor tanah air, Fauziah Ahmad Daud, atau lebih mesra disapa Ogy, mencuri perhatian warganet sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-63 apabila secara berseloroh meminta orang ramai tidak lagi mendoakan soal jodoh untuk dirinya.
Menerusi hantaran di Instagram hari ini, Ogy meluahkan rasa syukur dipanjangkan usia sambil menegaskan bahawa doa yang lebih bermakna buatnya kini adalah kesihatan, kebahagiaan dan keberkatan hidup dunia akhirat.
“Terima kasih Allah SWT, 63 tahun Fauziah Ahmad Daud hari ini.
Jadi, selamat hari jadi untuk saya! Doakan yang baik-baik buat saya dunia akhirat ya.
Tak perlu doakan saya dapat jodoh, malas!” tulisnya bersahaja.
Dalam nada penuh humor dan positif, bintang legenda filem Azura itu turut menyifatkan dirinya bukan semakin tua, tetapi semakin “klasik” — satu ungkapan yang mencerminkan semangatnya untuk terus berkarya dan berinspirasi walau meniti usia.
“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Saya bukan semakin tua, sebaliknya saya klasik,” katanya sambil disambut ucapan tahniah dan doa daripada rakan artis serta peminat di ruangan komen.
Rata-rata peminat memuji sikap bersahaja dan semangat positif pelakon yang cukup dihormati itu, malah ramai turut menganggap Ogy sebagai “ikon wanita berdikari” yang kekal relevan dalam industri hiburan Malaysia selama lebih empat dekad.