Netizen Perasan Tak Lagi Follow Kamal — Uqasha Buka Cerita Tentang Tekanan & Anak

Pelakon popular Uqasha Senrose menjelaskan bahawa perubahan fizikalnya yang semakin kurus bukanlah hasil daripada diet ketat atau rawatan kecantikan tertentu, sebaliknya disebabkan kesibukan bekerja sambil menguruskan anak perempuannya, Hawra Uqaira, yang kini berusia setahun.

Menurut Uqasha atau nama penuhnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, dia kini menjalani kehidupan yang padat — antara tuntutan karier seni dan tanggungjawab sebagai ibu.

“Orang tanya saya kenapa kurus, sebab kerja. Agak berat untuk saya tinggalkan anak setiap hari sampai rasa ‘burn out’ (letih melampau) dan tiada masa untuk diri sendiri,” katanya menerusi sesi siaran langsung di TikTok.

Tambahnya, dia juga sering membawa anaknya ke set penggambaran bagi memastikan dapat memantau dan menyusukan bayi walaupun dalam keadaan sibuk.

“Pernah 12 hari saya bawa Uqaira ke set penggambaran — sambil hafal skrip, sambil dukung dan beri susu,” katanya lagi.

Hargai Sokongan Ibu dan Adik

Dalam masa sama, Uqasha turut menzahirkan penghargaan kepada ibunya, Rosmizah Mohd. Noor, serta adiknya, pelakon Nelydia Senrose, kerana banyak membantu menjaga Uqaira dan memberikan sokongan moral.

Kembali Bekerja Atas Permintaan Suami

Menariknya, Uqasha turut memberi bayangan bahawa keputusan untuk kembali aktif berlakon dibuat atas galakan suaminya, pelakon Kamal Adli.

“Saya kerja bukan sebab kehendak sendiri, tapi dia (difahamkan Kamal) yang suruh saya buat ‘comeback’, sedangkan anak baru setahun empat bulan,” ujarnya.

“Dia pun tengah sibuk dengan penggambaran. Sebagai ibu, saya yang lebih banyak uruskan anak kerana cara lelaki dan perempuan jaga anak tak sama,” katanya.

Uqasha turut menegaskan bahawa kenyataannya bukan luahan kecewa, sebaliknya sekadar berkongsi realiti kehidupan dan keletihan yang dilaluinya sebagai ibu dan pelakon.

Sejak semalam, nama Uqasha kembali hangat diperkatakan selepas warganet menyedari dia dan Kamal Adli tidak lagi saling mengikuti akaun Instagram masing-masing, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai rumah tangga mereka.

Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang anak perempuan, Hawra Uqaira, pada April 2024.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular