KUALA LUMPUR: Siaran radio ERA pagi tadi mencetuskan kecaman hebat di media sosial selepas hos popular, Nabil Ahmad, didakwa bersikap tidak sensitif ketika menemubual seorang aktivis kemanusiaan daripada misi Sumud.
Insiden itu berlaku ketika segmen pagi ERA menampilkan aktivis dan pelakon Zizi Kirana, yang berkongsi pengalaman pasukan mereka ditahan dan disoal siasat oleh tentera Israel (IDF) dalam misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.
Namun, cara Nabil bertanya dan memberi respons sepanjang temu bual itu mengundang kemarahan pendengar, yang menganggap beliau gagal menunjukkan empati terhadap pengalaman getir tetamu berkenaan.
Menurut seorang pendengar yang menulis di platform media sosial, nada Nabil ketika mencelah soalan kedengaran tidak menghormati situasi yang sedang dibicarakan.
“Bukan nak menyinggung, tapi adakah dia memang begitu tidak sensitif? Adakah dia fikir tindakannya itu lucu?” katanya.
Antara momen yang paling mencuri perhatian ialah ketika Zizi menceritakan bagaimana mereka pada awalnya takut untuk makan roti yang diberikan oleh tentera Israel, kerana bimbang ia mungkin dicemari. Nabil kemudian secara bersahaja membalas,
“Suruh tawanan lain makan dulu, tengok apa jadi.”
Kenyataan itu segera tular dan mengundang reaksi negatif ramai pengguna media sosial yang menganggap ia tidak wajar, lebih-lebih lagi memandangkan semua tawanan terbabit merupakan aktivis kemanusiaan yang menghadapi risiko sama.
Seorang pengguna menulis bahawa komen seperti itu boleh menjejaskan imej negara, apatah lagi jika didengari oleh aktivis luar.
“Jelas menunjukkan dia seorang yang sangat mementingkan diri sendiri,” katanya.
Rata-rata komen di media sosial mengecam sikap Nabil yang disifatkan “tidak peka dan suka menjadikan semua perkara sebagai bahan jenaka”. Ada yang menegur tahap profesionalisme beliau sebagai penyampai radio yang seharusnya tahu menyesuaikan nada dan soalan mengikut konteks.
“Kadang-kadang boleh beza orang yang tahap pendidikan rendah bila bercakap,” tulis seorang pengguna.
“Saya rasa dia fikir semua benda boleh dijadikan lawak, sedangkan lawaknya langsung tak kelakar,” kata seorang lagi.
Insiden tersebut mencetuskan perdebatan lebih besar tentang profesionalisme penyampai radio dan keperluan untuk lebih berhati-hati dalam mengendalikan tetamu, terutama apabila topik berkaitan isu kemanusiaan dan penderitaan mangsa konflik.
Setakat ini, pihak ERA dan Nabil Ahmad sendiri belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kontroversi berkenaan.