Murid Tahun 3 Jadi Mangsa! Pengawal Sekolah & Kekasih Didakwa Lakukan Amang Seksual

Seorang pengawal keselamatan wanita bersama teman lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang murid perempuan berusia sembilan tahun di sebuah sekolah di Rembau, minggu lalu.

Tertuduh, Muahmad Mohd Mohtar, 25, dan Nor Aleeya Suhadah Mohamad, 22, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim N. Kanageswari.

Didakwa Lakukan Perbuatan Dalam Tandas Sekolah

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan amang seksual terhadap mangsa yang merupakan pelajar Tahun Tiga di dalam tandas perempuan sekolah berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi pada 7 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Rayuan dan Jaminan

Tertuduh wanita diwakili peguam Norfazrin Jamal, manakala Muahmad tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, Norfazrin memohon agar anak guamnya dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000, dengan alasan pendapatan bulanan Nor Aleeya hanya RM1,600, selain menanggung ibu bapa serta empat adik yang masih bersekolah.

“Anak guam turut menjaga ibu bapa yang menghidap darah tinggi dan berhasrat untuk membersihkan nama serta memberi jaminan hadir ke mahkamah tanpa gagal,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan bahawa tertuduh perlu melaporkan diri kepada pihak berkuasa sehingga kes selesai, tidak mengganggu saksi, dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta menetapkan syarat tambahan seperti dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Kes akan disebut semula pada 17 November depan bagi proses serahan dokumen dan lantikan peguam.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular