MIC Belum Putuskan Lagi Bila Akan Keluar BN

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menegaskan bahawa parti itu belum membuat keputusan muktamad untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN), sekali gus menafikan dakwaan yang tular baru-baru ini.

Menurut beliau, sebarang keputusan berkaitan hala tuju parti tidak boleh dibuat secara individu, sebaliknya mesti diputuskan secara konsensus dan kolektif oleh kepimpinan tertinggi parti dalam Mesyuarat Agung MIC pada 16 November ini.

“Keputusan mengenai hala tuju parti bukan pendapat perseorangan, walaupun semua ahli termasuk Timbalan Presiden berhak memberikan pandangan.

“Namun, keputusan muktamad bukan milik individu — ia keputusan bersama parti. Jadi keputusan akhir sama ada mahu keluar BN atau tidak, belum ditentukan,” katanya kepada Berita Harian.

Tajuddin Dakwa MIC Akan Umum Keluar BN November Ini

Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi kepada dakwaan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang mendakwa MIC akan mengumumkan keluar daripada BN bulan depan.

Tajuddin, menerusi satu video di akaun TikTok miliknya, mendakwa beliau memperoleh maklumat itu daripada Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan semasa majlis rumah terbuka Deepavali di Tapah baru-baru ini.

Menurut Tajuddin, Saravanan dikatakan tidak berpuas hati dengan beberapa perkara yang mendorong parti berusia lebih 77 tahun itu mempertimbangkan untuk keluar daripada BN.

Namun, beliau tidak mendedahkan punca sebenar, dengan alasan isu itu bersifat “sensitif dan sulit.”

MCA Nafi Ikut Jejak MIC

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menolak dakwaan bahawa partinya akan meninggalkan BN.

Menurut beliau, MCA kekal komited dengan perjuangan dalam gabungan itu dan tiada masalah untuk terus bekerjasama dalam kerangka BN.

“Kami masih bersama BN. Tidak ada sebarang keputusan untuk keluar. MCA kekal dengan prinsip dan dasar yang sama,” katanya ketika dihubungi.

Zahid: BN Tidak Menghalang, Tiada Paksaan

Mengulas isu tersebut, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyatakan bahawa BN bersikap terbuka dan tidak akan menghalang mana-mana parti komponen jika mahu meninggalkan gabungan.

“Tiada paksaan untuk kekal atau keluar daripada BN.

Apa pun keputusan parti komponen, ia hak mereka,” kata Zahid.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular