Menantu Bekas PM Dikehendaki SPRM, Dikesan Hidup Ala Jutawan di Luar Negara

Ahli perniagaan yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Timur Tengah selepas menghilangkan diri lebih dua tahun lalu.

Laporan eksklusif New Straits Times (NST) hari ini mendedahkan, Adlan dirakam dalam beberapa gambar bersama tokoh kenamaan dari Timur Tengah, malah dalam salah satu gambar turut kelihatan potret seorang pemimpin negara tersebut tergantung di latar belakang.

Menurut laporan itu, Adlan, 49, dipercayai kerap keluar masuk ke negara berkenaan bagi urusan perniagaan luar negara termasuk ke Thailand untuk bermain golf dan mengunjungi lapang sasar menembak.

Beliau kini diburu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai terbabit dalam kes pecah amanah projek National Enforcement and Registration System (NERS) bernilai RM595 juta, yang bertujuan mengumpul data biometrik pelawat asing di pintu sempadan negara.

Lari ke luar negara selepas Muhyiddin didakwa

Siasatan mendapati Adlan meninggalkan Malaysia pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mertuanya, Tan Sri Muhyiddin, didakwa atas beberapa pertuduhan rasuah berkaitan projek Jana Wibawa.

Empat hari kemudian, peguamnya, Mansoor Saat, 70, turut meninggalkan negara menuju ke Jakarta sebelum terus menghilangkan diri.

Kedua-duanya kini disyaki menyalahgunakan kira-kira RM50 juta dana kutipan pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang sepatutnya digunakan untuk membayar semula pembiayaan sukuk projek NERS tersebut.

SPRM sebelum ini mengesahkan kedua-dua individu terbabit kini berada di negara yang tiada perjanjian ekstradisi dengan Malaysia, sekali gus menyukarkan proses membawa mereka pulang bagi tujuan pendakwaan.

Projek keselamatan jadi lubuk rasuah

Projek NERS dilaksanakan ketika Muhyiddin memegang portfolio Menteri Dalam Negeri, dengan matlamat memperkukuh keselamatan sempadan melalui sistem biometrik.

Namun, hasil siasatan mendapati berlaku penyelewengan besar-besaran apabila sebahagian hasil kutipan dikesan tidak digunakan seperti ditetapkan dalam kontrak.

Kedua-dua Adlan dan Mansoor sedang disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah jenayah — satu kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

SPRM turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Adlan tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Masih bebas, hidup mewah di luar negara

Walaupun berstatus individu dikehendaki, Adlan dilaporkan masih bergerak bebas di luar negara dan menjalani kehidupan mewah, menghadiri acara sosial serta dilihat berhubung dengan beberapa tokoh ternama di rantau tersebut.

Laporan NST turut menyebut bahawa Adlan pernah dilihat menggunakan jet peribadi dan menginap di hotel lima bintang, dipercayai dibiayai hasil pelaburan luar negara yang diragui sumbernya.

SPRM: Siasatan masih berjalan

Sumber SPRM ketika dihubungi media tempatan memaklumkan siasatan terhadap kes tersebut masih berjalan dan usaha menjejaki Adlan sedang dilakukan dengan kerjasama agensi penguat kuasa antarabangsa.

“SPRM masih berusaha menjejaki lokasi sebenar beliau. Beberapa maklumat baharu telah diterima dan sedang disahkan dengan pihak berkuasa luar,” katanya.

Kes ini turut menarik perhatian umum kerana kaitan kekeluargaan antara Adlan dan Muhyiddin, yang kini mengetuai blok pembangkang Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan

Artikel Popular