Malaysia menyatakan kesediaan untuk menyertai Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Gaza bersama negara-negara sehaluan, termasuk dalam kalangan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, perkara itu disampaikan Anwar kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam mesyuarat dua hala di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
“Malaysia menegaskan pendirian teguh terhadap perjuangan Palestin serta mengalu-alukan pendirian konsisten PBB dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menegaskan bahawa sekatan rejim Israel terhadap bantuan kemanusiaan di Gaza melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.
Fokus hubungan Malaysia–PBB dan reformasi global
Anwar berkata, pertemuan selama kira-kira 20 minit itu turut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama Malaysia–PBB, termasuk di bawah kerangka ASEAN–PBB, serta sokongan Malaysia terhadap agenda reformasi global menerusi Pact for the Future dan Inisiatif UN80.
Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia dalam memperkasakan Visi Komuniti ASEAN 2045 sejajar Agenda Pembangunan Mampan 2030 melalui pelaksanaan Complementarities Initiative 2.0.
ASEAN sebagai pemudah cara keamanan serantau
Selain isu Gaza, kedua-dua pemimpin turut membincangkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, termasuk dalam memudah cara rundingan damai Thailand–Kemboja serta usaha dialog inklusif di Myanmar.
Isu perubahan iklim dan COP30
Dalam pertemuan itu juga, Anwar menyatakan komitmen Malaysia memperkukuh agenda perubahan iklim global, termasuk penyerahan Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) 3.0 menjelang Persidangan Pihak-Pihak ke-30 (COP30) di Brazil tahun depan.
“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan PBB dalam memperjuangkan keamanan, keadilan dan pembangunan mampan sejagat,” tegas Anwar.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, tiba di Malaysia awal pagi Ahad bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan di bawah Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan.”

