Keupayaan Malaysia mengumpulkan pemimpin dari pelbagai blok kuasa dunia membuktikan dasar luar negara ini yang bebas, terbuka dan berpaksikan kepentingan rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, tidak mudah untuk sesebuah negara menguruskan kehadiran serentak pemimpin utama dari Amerika Syarikat (AS), Russia dan China, apatah lagi ketika hubungan antara kuasa besar itu semakin tegang.
“Sekurang-kurangnya mereka lihat Malaysia ini dengan dasar ‘centrality’, satu-satunya negara yang boleh mengumpulkan negara yang mempunyai pandangan berbeza.
Kita menerima mereka bukan hanya kerana ASEAN, tetapi kerana dasar luar kita yang memilih untuk bersahabat dengan semua,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menegaskan pendekatan itu penting demi menjaga kepentingan rakyat dari segi perdagangan, geopolitik dan pelaburan antarabangsa yang memberi faedah langsung kepada ekonomi negara.
⸻
Hubungan Malaysia Merentasi Semua Blok Kuasa Dunia
Menurut beliau, Malaysia kini mengekalkan hubungan baik dengan negara Arab, Asia, Kesatuan Eropah (EU), Amerika Latin, Russia serta Afrika tanpa perlu tunduk kepada mana-mana tekanan geopolitik.
“Sebab itu Malaysia satu-satunya negara ASEAN yang masih meneruskan hubungan dengan Iran walaupun tidak dipersetujui banyak pihak.
Dengan EU pula, rundingan perdagangan yang tertangguh sekian lama kini dipercepat dan dijangka dimuktamadkan hujung tahun ini atau awal tahun depan,” katanya.
Anwar turut menjelaskan, fokus baharu turut diberikan kepada Afrika dan Amerika Latin, dengan menyebut pertemuan beliau bersama Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva serta lawatan akan datang ke Ethiopia sebagai sebahagian daripada strategi mengukuhkan hubungan Selatan-Selatan.
⸻
Isu Sempadan & Hubungan Serantau
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN–Kubang Kerian), Perdana Menteri menjelaskan bahawa Malaysia tidak berhasrat menubuhkan suruhanjaya sempadan baharu kerana kerjasama sedia ada dengan negara jiran sudah memadai.
“Gangguan terhadap operasi PETRONAS tidak sampai tahap perlu saya hubungi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, kerana hubungan dua hala masih baik.
Pencerobohan nelayan dari kedua-dua negara juga kita selesaikan secara diplomatik,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama keselamatan sempadan Malaysia bersama Indonesia, Thailand dan Singapura berada pada tahap baik dan tidak memerlukan pendekatan ala-NATO yang bersifat ketenteraan penuh.

