Malaysia ‘Berpindah Haluan’ — Dari Amerika ke BRICS!

Malaysia sedang giat memperkukuh hubungan dagang dan teknologi dengan negara-negara BRICS serta ekonomi membangun lain sebagai langkah strategik untuk mempelbagaikan pasaran eksport dan mengurangkan kebergantungan terhadap kuasa Barat.

BRICS ialah gabungan lima ekonomi pesat membangun — Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan — yang bekerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan teknologi bagi memperkukuh kedudukan negara membangun dalam sistem ekonomi global.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, berkata usaha tersebut memberi tumpuan kepada sektor berteknologi tinggi, khususnya semikonduktor, sebagai pemacu utama pertumbuhan baharu negara.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa kebergantungan terhadap pasaran tradisional seperti Amerika Syarikat mungkin sudah sampai ke penghujungnya. AS kini tidak lagi menunjukkan minat mengimport dalam jumlah besar daripada Malaysia dan rantau Asia,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN–Kubang Pasu) mengenai dasar kerajaan untuk menggalakkan syarikat tempatan membuka kilang di luar Amerika Syarikat.

Perjanjian Strategik Baharu Dalam Sektor Semikonduktor

Chin Tong mendedahkan kerajaan kini dalam proses memuktamadkan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Brazil dan India, melibatkan sektor semikonduktor dan teknologi tinggi yang dijangka dimeterai dalam masa terdekat.

“Langkah ini akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global dan membuka peluang pelaburan dua hala yang lebih mampan,” jelasnya.

Anwar Dijadual Lawatan Rasmi ke Benua Afrika

Beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan rasmi ke benua Afrika pada November ini, bagi memperluas kerjasama serantau dalam bidang pemindahan teknologi, latihan kemahiran dan pembangunan bersama.

Selain itu, Malaysia sedang memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara-negara seperti Bangladesh dan Pakistan, yang dikenal pasti sebagai pasaran baharu berpotensi tinggi bukan sahaja bagi eksport, tetapi juga untuk kerjasama teknologi dan latihan tenaga kerja.

“Ini bukan soal eksport semata-mata. Kita mahu membina ekosistem perkongsian teknologi, latihan bakat dan pemindahan ilmu antara Malaysia dan negara rakan. Itu adalah teras kepada ekonomi baharu yang lebih berdikari,” katanya.

Langkah ini, menurut beliau, sejajar dengan visi Ekonomi Madani yang menekankan daya tahan, inovasi, serta kerjasama global berasaskan keadilan dan kemampanan.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular