Langgar Etika Parti — Bersatu Umum Gantung Wan Ahmad Fayhsal

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, digantung keahlian dan segala hak dalam parti bagi tempoh satu penggal pemilihan, berkuat kuasa 13 Oktober 2025.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, menerusi satu notis rasmi penggantungan yang dikeluarkan pada tarikh berkenaan.

Menurut Mohd Radzi, keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat Lembaga Disiplin Bersatu yang diadakan pada 8 Oktober lalu, berikutan tindakan Wan Ahmad Fayhsal yang didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu berkaitan pemakaian Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

“Dengan penggantungan tersebut, Yang Berhormat secara langsung dilucutkan semua jawatan yang dipegang dalam parti dan tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atas nama parti sepanjang tempoh penggantungan,” katanya dalam notis tersebut.

Tambah beliau, Wan Ahmad Fayhsal masih mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan Bersatu dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.

Langkah penggantungan ini menandakan satu lagi perkembangan penting dalam pergolakan dalaman Bersatu, khususnya melibatkan beberapa pemimpin muda parti itu yang dikaitkan dengan perbezaan pendapat terhadap hala tuju kepimpinan parti.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular