Kesemua 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa Lembaga Disiplin parti mengambil tindakan tegas termasuk memecat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Dalam kenyataan bersama, mereka berkata langkah itu penting untuk menjaga disiplin, integriti dan maruah perjuangan parti, sekali gus memelihara keyakinan rakyat terhadap Bersatu.
“Kami, sepuluh ADUN Selangor, memandang serius kenyataan dan sidang media yang dibuat oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful; Ketua Bersatu Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali; Ketua Bersatu Bahagian Ampang, Isa Saidi; dan Ketua Bersatu Bahagian Ipoh Timur, Muhd. Fadhli Ismail.
“Kenyataan tersebut jelas tidak bertanggungjawab dan memperlihatkan usaha terdesak untuk mengalih perhatian daripada kegagalan komplot jahat mereka sendiri, termasuk percubaan menjatuhkan Presiden melalui gerakan akuan bersumpah (SD) yang nyata tidak mendapat sambutan,” kata kenyataan itu, semalam.
Tuduhan Balas
Media sebelum ini melaporkan, Wan Saiful mendakwa Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengugut beberapa ketua bahagian supaya menarik balik sokongan terhadap gerakan SD menjatuhkan Presiden parti.
Beliau mendakwa ugutan itu dibuat terhadap Ketua Bahagian Bersatu Sepang, Suhaimi Ghazali, dan Ketua Bahagian Bersatu Puchong, Shukor Mustafa, dalam satu pertemuan di ibu pejabat Bersatu pada 19 Ogos lalu.
Bagaimanapun, kenyataan bersama ADUN Selangor menyifatkan tindakan itu sebagai perbuatan “musuh dalam selimut” yang bersekongkol dengan pihak lawan, termasuk membangkitkan kembali isu video tular yang mengaitkan Azmin lebih lima tahun lalu.
“Kami mengecam keras fitnah jijik yang diulang terhadap Mohamed Azmin sedangkan kes tersebut sudah pun disiasat secara mendalam oleh polis selama lebih lapan bulan.
“Pada 9 Januari 2020, Peguam Negara ketika itu mengesahkan selepas meneliti semua bukti dan keterangan, Timbalan Pendakwa Raya sebulat suara mengesyorkan tiada kes untuk pertuduhan. Hakikatnya, Wan Saiful dan dalang usaha terancang ini sedang memutar belit fakta,” ujar mereka.
Desakan Tindakan Tegas
Kesemua ADUN itu juga menegaskan perhatian wajar diberikan kepada kes mahkamah yang sedang dihadapi Wan Saiful berhubung pertuduhan menggelapkan jutaan ringgit.
“Pendakwaan ini membuktikan pihak berkuasa mempunyai asas kukuh. Beliau sepatutnya menjawab pertuduhan di muka pengadilan, bukannya menyerang pihak lain dengan tuduhan tidak berasas,” tegas kenyataan itu.

