Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, mendedahkan bahawa keputusan meluluskan pewartaan pengambilan tanah bagi Kampung Sungai Baharu di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) telah dibuat secara tergesa-gesa dalam tempoh hanya tiga hari pada tahun 2021.
Pendedahan itu dibuat semasa sesi penerangan Hala Tuju Pembangunan Kampung Bharu di Dewan Rakyat hari ini. Menurut Dr. Zaliha, keputusan berkenaan dibuat selepas pemaju menghantar permohonan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) untuk mengambil alih tanah yang melibatkan kediaman flat dan lot teres di kawasan tersebut.
“Pemaju menghantar permohonan kepada KWP untuk mengambil tanah termasuk unit flat dan lot teres, seterusnya dipertimbangkan dalam Mesyuarat Pasca Kabinet KWP yang dipengerusikan Tan Sri Annuar Musa pada 9 September 2020. Syor mesyuarat itu kemudian dibawa ke Jawatankuasa Kerja Tanah Kuala Lumpur Ke-749/2021 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu dan akhirnya diluluskan,” katanya.
Beliau menjelaskan, pewartaan di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah telah dilakukan antara 18 hingga 21 Jun 2021, melibatkan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad — suatu tempoh yang disifatkan luar biasa cepat untuk kelulusan sebesar itu. “Kewajaran kelulusan secara tergesa-gesa ini, yang menyebabkan semua tanah menjadi hak milik pemaju, wajar diajukan kepada Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu,” katanya, merujuk kepada Annuar Musa.
Dr. Zaliha turut menjelaskan bahawa pada ketika itu, tiada dasar ambang persetujuan penduduk di peringkat Wilayah Persekutuan bagi proses pengambilan tanah, menyebabkan penggunaan akta berkenaan dilaksanakan walaupun sebahagian penduduk tidak bersetuju dengan pembangunan semula. Hanya pada 2021, KWP menetapkan nilai ambang persetujuan minimum 50 peratus menerusi Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kuala Lumpur.
Beliau turut menasihatkan penduduk yang tidak berpuas hati dengan nilai pampasan supaya menggunakan saluran undang-undang. “Kita menghormati apa jua keputusan mahkamah. Jika mahkamah memutuskan pemaju perlu menaikkan pampasan, maka pemaju wajib laksanakannya. Tetapi jika keputusan kekal, pemilik juga perlu akur,” katanya.
Dr. Zaliha menegaskan, perbicaraan kes berhubung isu pampasan tidak akan menghalang pembangunan Kampung Sungai Baharu daripada diteruskan, namun berharap caj penyelenggaraan selepas pembangunan semula Kampung Bharu dan Sungai Baharu kelak tidak membebankan penduduk yang akan kembali mendiami kawasan itu.