Seorang pejalan kaki di Tampines terkejut apabila menyaksikan seorang kanak-kanak perempuan membuang air besar di taman permainan awam, lapor portal berita Stomp hari ini.
Insiden itu berlaku kira-kira pukul 9.46 pagi semalam (waktu tempatan) dan dirakam oleh seorang individu yang kebetulan berada di lokasi kejadian.
Menurut saksi tersebut, kanak-kanak berkenaan dilihat bersama seorang lelaki dipercayai bapanya serta seorang saudara perempuan sebelum kejadian.
“Terdahulu, mereka bermain di taman permainan, kemudian kanak-kanak itu bertinggung dan membuang air besar sebelum meninggalkan tempat itu,” katanya yang enggan namanya disiarkan.
Saksi itu berkata, kejadian tersebut amat mengejutkan memandangkan ia berlaku di kawasan perumahan HDB yang sibuk dan pada waktu siang.
“Memang mengejutkan mereka berbuat demikian di tengah-tengah kawasan flat HDB pada waktu siang pula,” katanya lagi.
Boleh Didenda Hingga SGD$1,000
Menurut Agensi Persekitaran Negara (NEA), tindakan membuang air besar atau kecil di tempat awam adalah satu kesalahan di bawah undang-undang Singapura.
Pesalah boleh dikenakan denda sebanyak SGD$300 (kira-kira RM980) bagi kes pertama, manakala jika disabitkan di mahkamah, denda boleh meningkat sehingga SGD$1,000 (RM3,251).
Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai supaya mengutamakan kebersihan awam dan menggunakan tandas awam yang telah disediakan di kawasan sekitar.