”Jika Hamas Tak Lucutkan Senjata, Kami Akan Buat Secara Kekerasan” – Amaran Trump

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengeluarkan amaran keras kepada kumpulan pejuang Palestin Hamas, agar melucutkan senjata mereka atau menghadapi tindakan ketenteraan secara paksa.

Semasa pertemuan di White House bersama Presiden Argentina, Javier Milei, Trump berkata:

“Jika mereka tidak melucutkan senjata, kami akan melucutkan senjata mereka — dan ia akan berlaku dengan cepat, mungkin juga secara kekerasan.”

Kenyataan ini muncul dalam usaha Washington mempertahankan tekanan terhadap Hamas agar mematuhi sepenuhnya syarat gencatan senjata baru-baru ini. Trump menegaskan bahawa kesabaran AS semakin terhad jika Hamas gagal menyerahkan selebihnya tebusan dan senjata mereka.

Selain menuntut penyerahan senjata, Trump mendesak agar baki mayat tebusan yang masih ditahan di Gaza dipulangkan segera. Beliau turut menzahirkan bahawa telah tiba masanya fasa kedua perjanjian gencatan senjata bermula.

“Semua 20 tebusan telah dikembalikan dalam keadaan baik setakat yang boleh diharapkan. Satu beban besar terangkat, tetapi tugas belum selesai,” kata Trump di platform Truth Social.

“Yang meninggal dunia belum dikembalikan seperti yang dijanjikan! Fasa Dua bermula sekarang!!!”

Kenyataan berani ini dibuat beberapa jam selepas Trump kembali dari lawatan diplomatik singkat ke Israel dan Mesir, di mana beliau menandatangani deklarasi bersama pemimpin-pemimpin rantau bagi memantapkan usaha gencatan senjata Gaza.

Dalam perjanjian tersebut, Hamas bersetuju membebaskan 20 tebusan hidup yang ditawan sejak serangan 7 Oktober 2023, sebagai pertukaran kepada pembebasan tahanan Palestin oleh Israel.

Bagaimanapun, menurut laporan terkini, Hamas hanya memulangkan empat mayat setakat ini, dan 24 lagi mayat belum diserahkan — aspek yang menjadi punca ketegangan dalam pelaksanaan fasa kedua perjanjian.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular