“Jangan Risau, Sekolah Kita Selamat” — Kata Ketua Polis Negara

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa semua sekolah di seluruh negara masih berada dalam keadaan selamat dan terkawal, meskipun terdapat beberapa insiden buli serta keganasan fizikal dan seksual yang tular sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata secara keseluruhannya, kes-kes yang dilaporkan adalah kecil berbanding jumlah keseluruhan institusi pendidikan, pelajar dan guru di seluruh negara.

“Jika dilihat secara keseluruhan, sekolah di negara ini masih selamat. Kita mempunyai lebih 10,000 sekolah, ratusan ribu pelajar serta lebih 400,000 guru.

“PDRM juga sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah bagi memastikan keselamatan terjamin,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Kempen Anti Buli di sini, hari ini.

Mohd Khalid berkata, PDRM tidak menolak kemungkinan bahawa pendedahan kes di media sosial boleh mempengaruhi tindakan individu atau pelajar lain, justeru pihaknya terus memperkukuh usaha pencegahan dan pendidikan keselamatan dalam kalangan murid serta guru.

Ibu Bapa Diminta Pantau Anak dan Aktiviti Media Sosial

Dalam pada itu, beliau turut menasihati ibu bapa supaya memainkan peranan lebih aktif dalam memantau pergerakan anak-anak, termasuk kawalan terhadap penggunaan gajet dan media sosial.

“Pemantauan ibu bapa penting supaya anak-anak tidak mudah terpengaruh dengan unsur negatif atau tingkah laku agresif yang tular,” katanya.

Sekolah Wajib Laporkan Kes Jenayah, Jangan Sembunyi Fakta

Ketika ditanya mengenai tindakan segelintir pentadbir sekolah dan guru yang enggan melaporkan kes jenayah kepada polis, Mohd Khalid menegaskan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

“Apa sahaja kejadian yang membabitkan keselamatan pelajar perlu dilaporkan segera kepada polis. Jangan sembunyikan fakta atau cuba selesaikan sendiri.

Ini penting supaya ibu bapa tahu keadaan sebenar dan tindakan awal dapat diambil,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa PDRM memandang serius sebarang percubaan pihak sekolah untuk menyelesaikan isu keselamatan tanpa campur tangan pihak berkuasa.

Rondaan ‘Patrol Car’ di Sekolah Asrama

Dalam pada itu, Mohd Khalid bersetuju dengan cadangan agar pegawai polis melakukan rondaan berkala menggunakan kenderaan peronda (patrol car) di sekolah berasrama bagi meningkatkan tahap keselamatan pelajar.

“Saya telah mengarahkan semua Ketua Polis Negeri dan Daerah untuk meneruskan tindakan ini. Rondaan berkala akan menimbulkan rasa selamat dalam kalangan pelajar dan warden asrama,” katanya.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular