“Jangan Jadi Lebih Hamas Daripada Hamas” – Kementerian Luar Tegur Ahli Parlimen Machang

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, menegur Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, agar tidak “jadi lebih Hamas daripada Hamas” susulan desakan beliau supaya kerajaan membatalkan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Mohamad berkata, Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini mempunyai tanggungjawab diplomatik menjemput semua rakan dialog termasuk Amerika Syarikat, dan akan menggunakan kesempatan itu untuk menyampaikan pendirian tegas Malaysia mengenai isu Gaza secara langsung kepada Trump.

“Hamas sendiri menyambut baik rancangan 20 perkara yang dikemukakan oleh Trump. Jadi kenapa kita tidak bantu dan sokong pendirian ini? Jangan pula kita jadi lebih Hamas daripada Hamas,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Fayhsal yang tidak berpuas hati dengan keputusan Putrajaya menjemput Trump, dengan mendakwa tiada presiden AS dalam sejarah yang berjaya menghentikan kekejaman Israel — malah Trump didakwa antara yang membenarkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza berterusan.

Mohamad bagaimanapun menegaskan, selain komitmen terhadap Palestin, Malaysia perlu melihat dari sudut faedah ekonomi, pelaburan dan perdagangan dua hala dengan AS yang merupakan antara pelabur terbesar di rantau ini.

“Kita prihatin dengan Palestin, tapi hubungan dagang dan pelaburan ASEAN-AS sangat besar. Dengan pendirian tegas Perdana Menteri dan Menteri Luar, kita yakin Trump dan negara lain seperti Qatar serta Mesir tetap mencari jalan ke arah perdamaian,” jelasnya.

Kenyataan sinis “jangan jadi lebih Hamas daripada Hamas” itu mencetuskan reaksi dalam kalangan ahli dewan, menggambarkan ketegangan antara pendirian diplomatik kerajaan dan desakan blok pembangkang yang mahu pendekatan lebih keras terhadap Amerika Syarikat dalam isu Palestin.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular