JAIP Sahkan Nikah Kamal & Uqasha Sah, Tarikh 4 November 2021

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) hari ini mengesahkan bahawa status perkahwinan pasangan selebriti popular, Kamal Adli dan Uqasha Senrose, adalah sah menurut hukum syarak.

Dalam satu kenyataan rasmi, JAIP memaklumkan pasangan itu dinikahkan secara sah oleh wali mujbir, iaitu bapa kandung pengantin perempuan, Nik Sen Mat Ripin, pada 4 November 2021 jam 9.30 malam di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong.

“Berdasarkan Rekod Pendaftaran Nikah Negeri Pahang, Ahmad Kamal bin Ahmad Adli telah sah bernikah dengan Nik Zaris Uqasha binti Nik Sen melalui kehadiran wali mujbir yang mewakilkan (secara wakalah wali) kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan Kawasan Bentong 1,” menurut kenyataan itu.

Majlis pernikahan tersebut diadakan dengan pematuhan ketat Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), memandangkan ketika itu negara masih dalam tempoh pandemik COVID-19.

Uqasha Pertikai Tarikh Nikah, JAIP Jelaskan Isu

Penjelasan JAIP hadir selepas Uqasha Senrose dalam satu hantaran media sosial sebelum ini mendakwa terdapat perbezaan tarikh antara sijil nikah yang direkodkan dengan tarikh sebenar dia diakadnikahkan.

Uqasha sebelum ini mendakwa pernikahannya berlaku pada 5 November 2021, berbeza dengan rekod rasmi JAIP yang menyatakan 4 November.

Pelakon itu turut menuduh pihak suami dan keluarga Kamal Adli memanipulasi tarikh perkahwinan, namun hantaran tersebut telah dipadam tidak lama kemudian.

Fail Cerai Masih Dalam Proses

Terdahulu, pada 1 Oktober lalu, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal Adli di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur atas alasan tiada persefahaman.

Prosiding sebutan pertama kes itu ditangguhkan ke 28 Oktober selepas Kamal tidak hadir ke mahkamah.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang pada 5 November 2021, dan dikurniakan seorang anak perempuan, Hawra Uqaira.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular