Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyambut baik tumpuan Belanjawan 2026 yang memberi penekanan terhadap pembangunan rakyat luar bandar, peningkatan kemudahan kesihatan serta usaha menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara.
Menurut beliau, walaupun belum meneliti keseluruhan teks belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau melihat banyak inisiatif dalam belanjawan kali ini memberi manfaat terus kepada masyarakat luar bandar dan golongan berpendapatan rendah (B40).
“Belum sempat baca sepenuhnya, tapi saya nampak banyak perkara yang memberi tumpuan kepada masyarakat luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu Ke-4 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Ismail Sabri menegaskan, antara perkara yang menarik perhatiannya ialah peruntukan RM6.9 bilion untuk Sabah dan RM6 bilion untuk Sarawak, yang mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan seimbang antara wilayah.
Katanya, fokus terhadap sektor hospital, klinik desa serta sekolah termasuk sekolah daif jelas menunjukkan keutamaan kerajaan dalam membangunkan kemudahan asas yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Saya lihat fokus kali ini lebih kepada rakyat, terutama dalam memperbaiki kemudahan awam yang dekat dengan kehidupan seharian masyarakat luar bandar,” ujarnya.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Bera itu turut menyambut baik tekad kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar menjelang akhir tahun ini, seperti diumumkan oleh Perdana Menteri ketika pembentangan belanjawan tersebut.
Menurutnya, berdasarkan maklumat semasa, masih terdapat kira-kira 7,000 isi rumah miskin tegar di seluruh negara yang akan disasarkan untuk keluar daripada kemiskinan tahun ini melalui pelbagai program berfokus rakyat.
“Kalau angka itu betul, maknanya kita hampir menamatkan fasa kemiskinan tegar di Malaysia. Ini satu perkembangan yang sangat positif dan saya ucap tahniah kepada Perdana Menteri,” katanya.
Beliau menambah, perjuangan membasmi kemiskinan perlu bergerak seiring dengan usaha memperkukuh jati diri bangsa dan memartabatkan Bahasa Melayu.
“Kemajuan tidak boleh diukur semata-mata pada angka ekonomi. Ia mesti seiring dengan maruah bangsa, dan Bahasa Melayu adalah teras kepada jati diri kita,” jelasnya.
Dalam ucapannya, Ismail Sabri turut menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri atas keprihatinan terhadap isu rakyat dan bahasa kebangsaan, sambil berharap semangat itu dijadikan dasar tetap kerajaan agar pembangunan ekonomi dan pembinaan bangsa dapat berjalan seiring.
Beliau juga memaklumkan bahawa resolusi Simposium Aspirasi Bahasa Melayu 2025 akan dikemukakan kepada Perdana Menteri sebagai dokumen rasmi panduan dasar untuk memperkukuh agenda bahasa kebangsaan di peringkat nasional dan ASEAN.
“Resolusi ini akan dihantar kepada Perdana Menteri untuk dijadikan panduan dalam memperkukuh dasar bahasa dan pendidikan di peringkat ASEAN,” katanya.