Influenza Serang Sekolah: Kemungkinan Sekolah Ditutup

Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti kemungkinan menutup sekolah-sekolah tertentu di seluruh negara susulan peningkatan kes jangkitan virus influenza melibatkan kira-kira 6,000 pelajar sekolah setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata keputusan sama ada sekolah akan ditutup bergantung kepada hasil perbincangan dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dalam masa terdekat.

“Kuasa penutupan sekolah adalah di bawah KPM. KKM akan memberikan panduan dan nasihat teknikal berdasarkan situasi semasa.

“Jika pelajar bergejala, jangan hadir ke sekolah. Untuk perlindungan diri, pakailah pelitup muka, gunakan cecair pembasmi kuman dan amalkan semula SOP asas seperti mencuci tangan,” katanya ketika ditemui semalam.

6,000 Pelajar Dijangkiti, Kes Tersebar di Beberapa Negeri

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad, mengesahkan KPM kini berhubung rapat dengan KKM untuk memantau situasi tersebut dan bersedia menutup mana-mana sekolah atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Setakat ini, lebih 6,000 pelajar dikenal pasti dijangkiti influenza. Kes ini tidak tertumpu di satu kawasan sahaja, tetapi membabitkan beberapa negeri,” katanya pada sidang akhbar khas di Putrajaya.

Beliau turut mengingatkan semua institusi pendidikan supaya merujuk garis panduan pengurusan penyakit berjangkit, melaporkan segera kepada pejabat kesihatan, serta menghadkan aktiviti berkumpulan.

“Pegawai di Lembaga Peperiksaan juga sudah diminta bersiap sedia kerana peperiksaan SPM akan bermula 3 November ini,” tambahnya.

KKM: Tiada Mutasi Baharu, Tapi Aktiviti Penularan Meningkat

Menurut Dr. Dzulkefly, majoriti kluster influenza kini berlaku di institusi pendidikantermasuk sekolah dan tadika.

Kadar konsultasi penyakit berkaitan influenza (ILI) meningkat kepada 7.38 peratusberbanding 5.95 peratus minggu sebelumnya, sementara kadar kemasukan ke hospital bagi kes jangkitan saluran pernafasan akut teruk (SARI) menurun sedikit kepada 9.08 peratus.

“Sebanyak 116 wabak dilaporkan minggu ini, menunjukkan peningkatan dalam aktiviti penularan influenza dalam komuniti,” katanya.

Kadar positiviti influenza turut meningkat kepada 20.1 peratus berbanding 15.64 peratus sebelum ini, dengan strain utama yang dikesan ialah Influenza A (H3) bermusim sebanyak 17.5 peratus, diikuti A(H1N1) (1.4 peratus), Influenza B (1.2 peratus) dan SARS-CoV-2 (1 peratus).

“Setakat ini tiada mutasi baharu dikesan,” jelas beliau.

Langkah Pencegahan Diperketat

KKM dan KPM menasihatkan ibu bapa serta pihak sekolah supaya:

• Tidak membenarkan pelajar bergejala hadir ke sekolah.

• Memastikan pelajar memakai pelitup muka di kawasan sesak.

• Mengurangkan aktiviti berkumpulan dan mengamalkan semula SOP kesihatan asas.

• Melaporkan segera kepada PKD jika berlaku kes influenza dalam kalangan pelajar.

Kerajaan memberi jaminan bahawa keputusan menutup sekolah hanya akan dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan, demi keselamatan pelajar dan warga sekolah.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular