Oleh: Hj Sarfarizmal Saad (CEO DRC)
“Sayangkan anak, tangan-tangankan.”
Pepatah lama ini bukan sekadar bahasa orang dulu-dulu, tetapi falsafah hidup penuh hikmah yang semakin hilang nilai dalam masyarakat hari ini.
Ia bukan ajakan untuk bersikap zalim, sebaliknya peringatan agar kasih sayang tidak menutup kewarasan dalam mendidik anak-anak. Namun, dalam dunia moden yang serba lembut ini, pepatah itu semakin asing — ditelan budaya takut anak menangis lebih daripada takut anak rosak.
Kini, ramai ibu bapa takut menegur, apatah lagi menghukum, atas alasan anak “masih kecil”. Akibatnya, anak-anak dibiarkan bermaharajalela — menjadi “tuan” dalam rumah sendiri, manakala ibu bapa pula tunduk kepada kehendak tanpa batas.
Dulu, rotan bukan lambang kekejaman, tetapi simbol ketegasan dan tanggungjawab. Anak yang tersilap akan ditegur dan dihukum, bukan untuk menyakitkan, tetapi untuk membentuk. Hasilnya, anak-anak zaman dahulu membesar dengan rasa hormat, tahu batas dan kenal erti salah.
Hari ini, keadaan berubah. Kita melihat kes buli, pergaduhan, malah jenayah seksual dalam kalangan remaja — sesuatu yang tidak pernah terbayang di zaman ibu bapa kita.
Kita sering menyalahkan sekolah dan guru, sedangkan akar masalahnya bermula di rumah. Rumah yang sepatutnya menjadi madrasah pertama kini gagal membentuk jiwa dan adab.
Pendidikan sebenar bermula dari rumah. Kasih sayang bukan bermakna memenuhi semua kehendak anak, tetapi membetulkan langkah mereka sebelum tersasar jauh.
Ibu bapa tidak seharusnya takut untuk menegur, menasihati, bahkan jika perlu — merotan dengan kasih, bukan dengan marah. Teguran dan rotan hari ini mungkin membuat anak menangis, tetapi lebih baik mereka menangis sekarang daripada kita yang menangis kemudian.