Hubungan Korea Selatan dan ASEAN Seperti Sepupu

“Jiran adalah seperti sepupu. Ketika kita gembira, berduka atau menghadapi kesukaran, jiran tetap bersama seperti saudara sedarah.”

Demikian perumpamaan indah disampaikan oleh Presiden Republik Korea, Lee Jae Myung, ketika menggambarkan keakraban hubungan antara Korea Selatan dan negara-negara ASEAN dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak ASEAN–Republik Korea di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Lee, hubungan antara kedua-dua pihak bukan sekadar kerjasama diplomatik, sebaliknya telah berkembang sebagai ikatan kemanusiaan yang saling bergantung dan menyokong antara satu sama lain.

“Saya percaya rakyat Korea Selatan dan ASEAN adalah seperti saudara sedarah — dalam apa jua keadaan, kita tetap berganding bahu dan berkongsi kekuatan untuk mengatasi cabaran bersama,” katanya.

Tiga Dekad Keakraban ASEAN–Korea Selatan

Lee menegaskan, hubungan kemanusiaan yang terjalin sejak lebih tiga dekad lalu semakin erat, dengan lebih 10 juta rakyat Korea mengunjungi negara ASEAN setiap tahun.

“Setiap kali berlaku krisis kewangan, pandemik atau bencana alam, Korea Selatan dan ASEAN tidak pernah berjuang sendirian. Kita sentiasa bersama mencari jalan keluar dan membina semula,” katanya lagi.

Kini, ASEAN muncul sebagai rakan dagang ketiga terbesar Korea Selatan, dengan syarikat-syarikat Korea memainkan peranan besar dalam pembangunan sektor automotif, keluli, elektronik dan teknologi di rantau ini.

Rakan Strategik Komprehensif dan Wawasan 2045

Lee berkata, hubungan dua hala kini diperkukuh melalui Rakan Strategik Komprehensif (Comprehensive Strategic Partnership – CSP) sempena ulang tahun ke-35 hubungan ASEAN–Korea Selatan.

Menjelang Sidang Kemuncak Khas ASEAN–Korea Selatan 2029, kedua-dua pihak akan terus bekerjasama di bawah kerangka strategik itu bagi mengatasi cabaran global dan membawa manfaat nyata kepada rakyat.

Presiden Korea Selatan itu turut menggariskan tiga misi utama dasar ASEAN–Korea Selatan, iaitu:

  1. Menjadi rakan kepada impian dan harapan ASEAN,
  2. Menjadi batu loncatan kepada pertumbuhan dan inovasi, serta
  3. Menjadi jambatan penghubung ASEAN dengan dunia.

“Korea Selatan juga berhasrat menjadi rakan kongsi ASEAN dalam menjamin keamanan dan kestabilan rantau, termasuk memperkukuh daya tahan terhadap jenayah rentas sempadan, keselamatan maritim dan bencana,” katanya.

Menuju Masa Depan Serantau yang Aman dan Makmur

Lee menegaskan, dasar tersebut sejajar dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 yang menekankan pembentukan masyarakat berpusatkan rakyat, komuniti inovatif dan berdaya tahan tinggi.

“Saya yakin, bersama-sama kita mampu menjayakan visi ini untuk masa depan rantau yang seimbang, makmur dan aman,” katanya mengakhiri ucapan.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular