Hashim Jasin: Audio Cadangan Hamzah Sebagai PM Tidak Sahih

Pas menafikan parti itu pernah berbincang atau membuat keputusan menamakan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin, sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, berkata audio yang tersebar kononnya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, membuat cadangan tersebut belum tentu sahih dan tidak perlu dipolemikkan.

“Kita tidak tahu dan belum tentu kesahihan audio itu. Sekarang, macam-macam orang boleh buat terutama menggunakan teknologi AI.

“Apa pun, kalau betul sekalipun, ia bukan keputusan parti. Ia tidak pernah dibincang dalam mesyuarat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Audio Tular

Sebelum ini, tular klip audio pendek mirip suara seorang pemimpin Bersatu yang mendakwa Abdul Hadi mencadangkan Hamzah sebagai calon Perdana Menteri dalam pertemuan bersama beberapa pemimpin Bersatu.

Bagaimanapun, Pas menafikan rakaman itu, meskipun mengakui ada pertemuan bersama Bersatu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) bagi membincangkan hal ehwal semasa.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menjelaskan mesyuarat dan perbincangan tidak rasmi sememangnya kerap diadakan di pelbagai lokasi termasuk di Parlimen.

Fokus PRN Sabah

Dalam pada itu, Hashim menegaskan Pas kini memberi tumpuan terhadap usaha memperkukuhkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

“Kita sedang membuat persediaan dan membina kekuatan di semua peringkat,” katanya.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular