Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) merekodkan sebanyak 9,737 kes remaja hamil luar nikah di seluruh negara dalam tempoh lima tahun lalu — melibatkan remaja seawal usia 10 hingga 19 tahun.
Timbalan Ketua Pengarah JPW, Dr. Faridah Awang, berkata angka itu menunjukkan trend yang membimbangkan dan menggambarkan tahap kesedaran terhadap kesihatan reproduktif dan keselamatan diri masih rendah dalam kalangan remaja.
“Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 9,737 kes hamil luar nikah direkodkan bagi remaja bawah 19 tahun dalam tempoh lima tahun. Ini termasuk kes melibatkan usia seawal 10 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Skuad Waja Siswa Peringkat Negeri Kelantan 2025 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa, hari ini.
Lebih 1,000 Kes Jenayah Seksual Remaja Direkodkan Tahun Ini
Menurut Dr. Faridah, sejak Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 1,116 kes jenayah seksual dilaporkan membabitkan kumpulan umur 19 hingga 30 tahun.
Selain itu, katanya, 1,091 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) juga dikesan dijangkiti HIV dalam tempoh 2020 hingga 2024.
“Angka ini memberi gambaran jelas bahawa tahap kesedaran pendidikan kesihatan reproduktif masih rendah dalam kalangan remaja dan mahasiswa,” katanya.
Penubuhan Skuad Waja Siswa
Bagi menangani isu tersebut, JPW menubuhkan Skuad Wanita Anti Jenayah Siswa (Skuad Waja Siswa) di institusi pengajian tinggi sebagai platform advokasi kampus untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu keselamatan, jenayah dan kesihatan reproduktif.
“Skuad Waja Siswa diwujudkan sebagai rakan strategik kerajaan bagi memperkasa belia, khususnya pelajar IPT, dengan ilmu dan sokongan psikososial dalam menghadapi ancaman jenayah serta masalah sosial,” jelasnya.
Kerajaan Perkukuh Perlindungan Undang-Undang
Dalam pada itu, Dr. Faridah berkata kerajaan turut memperkukuh sistem keadilan terhadap wanita melalui pelaksanaan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) serta penubuhan Tribunal Anti-Gangguan Seksual.
“Langkah ini bukti komitmen kerajaan dalam menangani isu keganasan terhadap wanita dan melindungi hak mereka secara menyeluruh,” katanya.