Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih menunggu dokumen penghakiman penuh daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum memulakan proses rayuan rasmi berhubung keputusan menggantung tujuh pemain warisan negara.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, berkata tempoh rayuan 10 hari yang ditetapkan FIFA berakhir hari ini, namun proses rayuan hanya boleh dimulakan selepas keputusan penuh diterima secara rasmi.
“Pasukan guaman FAM sudah bersedia untuk mengambil sebarang tindakan lanjut sebaik sahaja dokumen penuh keputusan itu diperoleh.
Sebaik sahaja keputusan penuh diterima, kami akan mengemukakan rayuan dengan dokumen sokongan yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 26 September lalu, FIFA mengenakan hukuman terhadap tujuh pemain warisan Malaysia — Facundo Garces, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel — selepas didapati terbabit dalam isu pemalsuan dokumen kelayakan.
Kesemua mereka digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak dan dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM10,000) selepas melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
FAM sebelum ini menyatakan komitmen untuk melindungi reputasi bola sepak negara dan memastikan setiap pemain yang disenarai dalam skuad kebangsaan mematuhi sepenuhnya peraturan kelayakan antarabangsa.