KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan kadar duti eksais ke atas produk rokok dan minuman keras berkuat kuasa mulai 1 November ini, sebagai langkah mengurangkan kadar perokok dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut Anwar, kenaikan kadar itu merupakan sebahagian daripada pendekatan menyeluruh kerajaan dalam memperkukuh dasar kesihatan awam dan mengekang tabiat merokok yang semakin membimbangkan di negara ini.
“Kadar duti eksais bagi rokok dinaikkan sebanyak dua sen setiap batang, manakala cigars, cheroots dan cigarillos meningkat RM40 sekilogram, serta produk tembakau dipanaskan (heated tobacco) naik RM20 bagi setiap kilogram kandungan tembakau,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam masa sama, kerajaan turut melanjutkan tempoh pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas produk terapi gantian nikotin sehingga 31 Disember 2027, yang kini turut merangkumi produk nicotine mist dan nicotine lozenges.
Selain itu, kadar duti eksais bagi produk minuman keras juga akan dinaikkan sebanyak 10 peratus mulai 1 November 2025, bagi mengurangkan akses kepada alkohol serta mendorong masyarakat mengamalkan gaya hidup lebih sihat.
Anwar berkata, hasil tambahan daripada kenaikan duti eksais tersebut akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membiayai Inisiatif Kesihatan Paru-Paru serta program rawatan diabetes dan penyakit jantung, yang kini menjadi antara penyumbang utama kepada kadar kematian tidak berjangkit (NCD) di negara ini.
Selaras dengan prinsip “mencegah lebih baik daripada mengubati”, kerajaan turut mencadangkan agar perbelanjaan vaksin yang layak mendapat pelepasan cukai pendapatan individu diperluas kepada semua jenis vaksin yang didaftarkan dan diluluskan oleh KKM.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026 itu, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM470 bilion, merangkumi RM338.2 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, menjadikan ia antara belanjawan terbesar dalam sejarah negara.