DUN Sabah Dibubar, Laluan PRN17 Bermula

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) diadakan dalam tempoh terdekat.

Pengumuman itu dibuat selepas Hajiji mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dalam satu pertemuan rasmi di Istana Seri Kinabalu pagi tadi.

“Saya telah menghadap Tuan Yang Terutama Tun Musa Aman pagi ini dan telah mendapat perkenan untuk membubarkan DUN Sabah,” kata Hajiji dalam majlis perjumpaan bersama Ahli-Ahli Yang Berhormat Kerajaan Negeri di Menara Kinabalu.

Terdahulu, kenderaan rasmi yang membawa Hajiji dilihat memasuki perkarangan Istana Seri Kinabalu sekitar jam 8.51 pagi, dipercayai bagi menyerahkan surat rasmi pembubaran.

Sebelum ini, Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya, memaklumkan bahawa penggal semasa akan terbubar secara automatik pada 11 November 2025, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri.

Dengan pembubaran ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian dalam masa terdekat, sekali gus menandakan permulaan kempen politik paling sengit di Borneo dalam tempoh lima tahun terakhir.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular